NAIB juara Liga Super musim 2024/2025, Selangor FC mengumumkan keputusan mengejut apabila merehatkan ketua jurulatih, Katsuhito Kinoshi daripada tugasan utama pasukan berkuat kuasa serta-merta.
Pengumuman rasmi itu dibuat menerusi satu hantaran di laman media sosial kelab pada Jumaat, yang memaklumkan bahawa Kinoshi tidak lagi memimpin skuad utama dalam tempoh terdekat.
“Selangor FC dengan ini mengumumkan bahawa Katsuhito Kinoshi telah direhatkan daripada tugas beliau sebagai Ketua Jurulatih pasukan utama,” kata kenyataan ringkas kelab berkenaan.
BACA LAGI: Hampir sah ke gergasi EPL, prospek hangat Uzbekistan rupanya rakan sepasukan bekas bek Selangor
BACA LAGI: Mentaliti bakat muda di MSSM capai level Jepun
Dalam kenyataan sama, skuad Gergasi Merah turut memberitahu bahawa pasukan utama buat masa ini akan digalas oleh pengendali Selangor FC II iaitu Christophe Gamel sementara barisan pengurusan mencari pengganti.
"Pihak kelab ingin merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada beliau atas segala sumbangan, usaha dan komitmen beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya bersama Selangor FC.
"Tanggungjawab ketua jurulatih pasukan utama kini digalas oleh Christophe Gamel secara interim sementara kelab menjalani proses pelantikan seorang ketua jurulatih tetap yang baharu," tambah pihak kelab.
Keputusan Gergasi Merah yang secara tiba-tiba merehatkan Kinoshi menimbulkan persoalan lagi-lagi selepas memperoleh kemenangan 4-2 ke atas wakil Singapura, Tampines Rovers dalam aksi kedua Kumpulan A kempen Kejuaraan Kelab Asean (ACC) pada Rabu.
Itu membolehkan Selangor muncul pendahulu Kumpulan A dengan empat mata, terikat dengan BG Pathum United namun berkelebihan dari segi perbezaan jaringan selepas The Rabbits terlepas peluang mengutip tiga mata apabila terikat 2-2 dengan juara bertahan, Buriram United.
Tidak dinafikan prestasi Kinoshi baru-baru ini mengundang amarah susulan tumbang dua aksi berturut-turut di pentas Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dan Liga Super, tetapi bukan alasan tepat untuk menukar jurulatih lagi-lagi di awal musim ini.
Bayangkan sahaja, Gergasi Merah setakat ini sudah menukar lima jurulatih sejak musim 2021 hingga menyebabkan mereka sukar untuk konsisten dalam liga mahupun saingan antarabangsa.
Untuk rekod, Kinoshi dilantik pada 25 November tahun lalu dan berjaya membantu Selangor menjulang Piala Cabaran 2024-2025 dengan 12 kemenangan daripada 23 aksi sepanjang beliau bertugas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
