Mentaliti bakat muda di MSSM capai level Jepun


  • Podium
  • Sabtu, 02 Sep 2023

Sikap terpuji yang ditunjukkan oleh atlet MSSM negara. — Facebook/Bazly Azmi

MASYARAKAT Jepun sememangnya terkenal dengan disiplin, ketepatan waktu dan kebersihannya, jika dilihat kepada budaya serta gaya hidup mereka, amat sukar untuk diikuti.

Perkara itu dapat dilihat ketika Jepun berdepan Jerman pada perlawanan pembukaan Piala Dunia 2022 di Qatar, kelihatan penyokong pasukan Matahari Terbit itu bertindak mengutip sampah di stadium secara sukarela selepas tamat perlawanan.

Bukan sahaja penyokong malah pemain Jepun meninggalkan bilik persalinan dalam keadaan bersih dan kemas.

Oleh sebab itu, tidak hairanlah disiplin tinggi yang diterapkan para pemain negara itu menjadi antara faktor dalam membantu perkembangan sukan di Jepun.

contoh jepun

Pemain Jepun tinggalkan bilik persalinan dalam keadaan bersih dan kemas.

Walaupun ingin memulakan atau mengubah sesuatu budaya memerlukan berpuluh atau beratus tahun namun berbeza dengan apa yang dilakukan oleh atlet yang mengikuti kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2023.

Menerusi satu perkongsian di laman Facebook, Bazly Azmi mengatakan bahawa sikap yang ditunjukkan oleh generasi Z tersebut perlu diberi pujian.

Menurutnya, umum mengetahui bahawa kini generasi Z atau digelar Gen-Z iaitu generasi yang lahir antara lewat tahun 90-an sehingga tahun 2010 dan membesar dengan teknologi yang semakin berkembang pesat.

Berikutan perkara itu, sikap hormat-menghormati, tingkah laku dan budi bahasa yang baik semakin hilang apabila berbicara dengan golongan yang lebih tua.

Bagaimanapun, perkara itu dibuktikan apabila pelapis di Malaysia menunjukkan sikap yang terpuji.

bilik persalinan

Bilik persalinan yang dibersihkan oleh para atlet MSSM. — Facebook/Bazly Azmi

Bukan sahaja membersihkan bilik penginapan malah dilihat memungut sampah-sarap selepas tamat perlawanan.

"Kita bimbang mengenai sahsiah Gen Z tapi i think if we treat them right, ada potensi untuk kekalkan nilai-nilai murni zaman uncle-uncle dulu," kata Bazly Azmi.

Difahamkan, atlet tersebut merupakan pasukan kriket yang mewakili negeri Johor untuk mengikuti kejohanan MSSM bagi sukan Kriket Lelaki Bawah 12 dan 18 tahun berlangsung di Selangor sebagai tuan rumah.

"Kelihatan pemain Kriket Johor Bawah 12 tahun, tahniah team, coach dan manager," kata Dsp Jimmy.

"Tahniah anak muda dan pengurusan pasukan," kata Cik Abe Hir.

"Good job adik-adik. Alhamdulillah," kata Apize RC.

Sebagai tambahan, hanya 24 jenis sukan yang telah diwartakan untuk dipertandingkan antaranya Bola Sepak, Kriket, Olahraga, Badminton, Gimnastik Artistik dan Hoki.

Tema rasmi bagi penganjuran MSSM 2023 adalah “Sukan Nadi Anak Yang Baik lagi Cerdik (ABC)”.

Pemilihan tema ini selari dengan hasrat KPM dalam melahirkan konsep ‘Anak Yang Baik Lagi Cerdik’ dengan menitikberatkan pembentukan karakter, pembinaan insan, akhlak dan integriti dalam kalangan murid.

Sukan sebagai asas dan penggerak utama dalam usaha membudayakan adab, akhlak dan integriti dalam kalangan murid.

Susulan itu, MSSM negara menampilkan sahsiah diri yang baik sekali gus meraih pujian daripada warga maya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram