
BEKAS pemain pertahanan Kedah, Azmeer Yusof mendedahkan dirinya hampir menjadi mangsa penipuan ketika era penuh kontroversi melibatkan pasukan Perlis sekitar tahun 2019 yang digelar peminat sebagai Singa Utara Scam United.
Menurut Azmeer yang bersama Kedah 2015-2016 dan 2019-2021, ketika itu dia sudah menandatangani kontrak bersama Kedah namun masih menerima tawaran lumayan untuk menyertai Perlis.
Seorang individu yang tidak dikenali menghubunginya dan menjemputnya ke Concorde Hotel, Shah Alam, Selangor bagi membincangkan tawaran gaji lebih tinggi kononnya bagi memujuknya berpindah ke skuad Singa Utara.
BACA LAGI: FAM ‘pecat’ Perlis FA, dilarang terlibat aktiviti bola sepak
BACA LAGI: Bekas kiper JDT sertai ex-Kedah, kendali Perlis City
"Zaman scam ini saya salah seorang yang ditawar untuk ke Perlis. Waktu itu saya sudah sign dengan Kedah. Tapi orang yang telefon saya itu tetap nak jumpa saya di Concorde Hotel Shah Alam untuk counter gaji.
"Mujur ALLAH 'tahan' saya dari berjumpa. Kalau tak pasti saya ke Perlis. Memang bersyukur sangat-sangat," tulisnya di Facebook sambil meluahkan rasa lega kerana terhindar daripada menjadi mangsa janji manis.
Perlis merupakan salah satu pasukan yang digeruni pada 2000an. — Agensi
Pendedahan legenda Sang Kenari berkenaan hadir susulan hantaran seorang pengguna Facebook, Anuar Che Ahmad yang mengimbau kembali kisah kejatuhan Perlis FA pada musim 2019.
"Zaman kegemilangan Singa Utara Scam United tahun 2019. Masa itu mereka datang dengan idea power iaitu keluarkan kad membership ala-ala kelab Liga Perdana Inggeris (EPL). Janji?
"Bukan sikit, ada diskaun tiket, merch eksklusif, layanan VIP, mungkin sekali dapat air sirap percuma masa perlawanan pun ada. Ramai lah peminat kita teruja, pakat daftar masuk. Aku pula senyum saja sebab dah terbau ada sesuatu pelik.
"Bila aku beritahu kawan, mereka kata aku dengki, sebab aku tak dapat projek dengan pasukan. Akhirnya janji semua ghaib, kad pun jadi macam kad Touch n Go tapi beza kad ini tak boleh topup," katanya.
Bukan itu sahaja, pengguna Facebook itu juga memberitahu bahawa ada juga yang menyimpan kad tersebut sebagai matchworn scam, bukti bagaimana sebuah pasukan berprestij boleh terjerumus ke kancah penipuan.
Sejarah hitam berkenaan berlaku ketika pasukan Utara tanah air berkenaan berdepan masalah kewangan yang kronik hingga menyaksikan gaji pemain dan kakitangan pasukan tertunggak.
Difahamkan, pemain ketika itu tertipu dengan janji gaji besar, namun akhirnya terpaksa menanggung kerugian apabila skuad Perlis gagal menunaikan komitmen kewangan.
Anuar mengingatkan bahawa kejatuhan pasukan boleh dipulihkan melalui kerja keras dan pengurusan baharu, tetapi pengalaman ditipu kekal sebagai pengajaran mahal.
"Kalau bola Perlis jatuh, kita boleh bangkit. Tapi kalau kena scam, kita cuma boleh ketawa sambil frame kad itu atas dinding untuk ingatkan generasi akan datang,” katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram