Tiba masa Zach Clough ditepikan, beri minit lebih buat 2 bintang Selangor mula bersinar


  • Podium
  • Sabtu, 20 Sep 2025

Selangor FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tewas kepada Bangkok United, sekali gus terlepas peluang meraih tiga mata penuh. — Facebook/selangorfc

SELANGOR FC memulakan kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) dengan langkah kiri apabila tewas 2-4 kepada Bangkok United dalam aksi pembukaan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Khamis.

Skuad bimbingan Katsuhito Kinoshi pada awalnya dilihat mampu meraih tiga mata di laman sendiri, namun beberapa kesilapan mudah menghukum Gergasi Merah yang akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan pertama musim ini di pentas Asia.

Barisan serangan Bangkok Angels memanfaatkan kelemahan Selangor sebaik mungkin, meskipun penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz tampil cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya.

BACA LAGI: Seolah 'kebal' setiap kali diuji Jang Hobin, 'magis' Yusri Che Lah sekali lagi ditagih

BACA LAGI: [VIDEO] Danial Asri sudah nampak, Aidil Sharin minta fans sabar andai mahu lihat impak Nistelrooy

Lebih malang, Selangor kehilangan seorang pemain pada minit ke-39 apabila pertahanan muda, Harith Haiqal dilayangkan kad merah selepas melakukan kekasaran ke atas pemain lawan, Seia Kunori.

Dua gol Selangor dijaringkan oleh penyerang import, Chrigor Moraes, serta pemain muda berbakat, Aliff Izwan Yuslan yang dimasukkan sebagai pemain gantian.

Jaringan Aliff nyata memberi nafas kepada tuan rumah, namun empat gol yang dijaringkan Bangkok United tidak mampu dipadam.

Kemasukan Aliff mencetus impak positif di bahagian serangan, sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong mengenai pemilihan pemain dalam kesebelasan utama.

Zack Clough (kiri) kini menerima kritikan hebat daripada penyokong Selangor FC. — Facebook/selangorfc

Pemain tengah import England, Zach Clough menerima kritikan hebat susulan aksi hambarnya sepanjang perlawanan.

Kelibat pemain England itu dianggap 'tidak wujud', malah ramai penyokong menyifatkan dia gagal memberikan sebarang impak meskipun menyandang status pemain import.

Tindakannya yang dilihat malas berlari, sering melakukan back pass serta kurang membantu dalam tekanan ke atas pihak lawan turut menjadi buah mulut penyokong The Red Giants di media sosial.

Situasi itu mendorong segelintir peminat menggesa barisan kejurulatihan memberi peluang kepada pemain tempatan seperti Aliff Izwan dan Faisal Halim untuk diturunkan sebagai tonggak utama dalam perlawanan akan datang.

Mereka berpendapat, status 'pemain import' tidak seharusnya menjamin tempat dalam kesebelasan jika prestasi di atas padang tidak setimpal.

Faisal Halim

Selangor FC kini berdepan tekanan untuk segera bangkit selepas kekalahan 2-4 di tangan Bangkok United dalam aksi pembukaan ACL 2.

Dalam perlawanan itu, prestasi hambar pemain import, Clough terus menjadi persoalan dalam kalangan penyokong.

Sebaliknya, pemain kebangsaan Faisal Halim terus menerima sokongan padu untuk diberikan kepercayaan sebagai pemain utama, walaupun tidak diturunkan dalam aksi tersebut.

Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey itu terkenal dengan gerakan pantas, larian tanpa henti, serta keupayaan menewaskan pertahanan lawan secara individu.

Pemain sayap lincah Selangor FC, Faisal Halim. Facebook/selangorfc

Pemain berusia 27 tahun itu juga memiliki ‘killer instinct’ di hadapan gawang, kualiti yang kini amat diperlukan oleh Selangor.

Dengan prestasi semasa, Faisal lebih layak diberi peranan utama berbanding Zach Clough.

Ketika ini, pemain sayap mencatatkan dua gol ketika membantu Selangor menewaskan Malaysian University dalam pusingan 16 Piala FA pada 16 Ogos lalu.

Aliff Izwan Yuslan

Kemunculan pemain muda Aliff Izwan sebagai pemain gantian dalam aksi menentang Bangkok United nyata membuktikan keupayaannya sebagai aset penting di jentera serangan Selangor FC.

Masuk menggantikan Kevin Deeromram pada separuh masa kedua, Aliff tidak menunggu lama untuk meninggalkan impak apabila menjaringkan gol kedua pasukan hanya menerusi sentuhan pertamanya sekali gus merapatkan defisit jaringan dan menghidupkan semula harapan Red Giants dalam perlawanan tersebut.

Walaupun hanya beraksi sebagai pemain gantian, persembahan Aliff cukup meyakinkan, memperlihatkan ketajamannya di hadapan gawang dan naluri semula jadinya sebagai penjaring.

Aliff Izwan antara pemain yang kini disebut-sebut sesuai menggantikan posisi Clough. Facebook/selangorfc

Peminat mula menyuarakan harapan agar pemain berusia 21 tahun itu diberikan lebih banyak peluang dalam kesebelasan utama memandangkan potensi besar yang ditunjukkannya.

Untuk rekod, Aliff turut mencatatkan satu gol dalam saingan Liga Super ketika bertemu Terengganu FC pada 27 Ogos lalu juga ketika diturunkan sebagai pemain gantian.

Dengan prestasi konsisten setiap kali diberi peluang, Aliff kini dilihat sebagai antara calon utama untuk mengukuhkan barisan serangan Selangor dalam perlawanan akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram