
ERA baharu bermula di Terengganu FC selepas mereka melantik ketua pegawai eksekutif (CEO) yang baharu iaitu Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al Bajrai pada awal permulaan musim 2025/2026.
Tanpa membuang masa, Sheikh Farouk terus memulakan tugasnya dengan impak segera menyaksikan usahanya dalam menjadikan Terengganu kelab yang lebih stabil dan maju.
Usaha yang dilakukan dari luar padang mampu memberikan impak kepada prestasi dalam padang skuad Penyu apabila masanya sudah tiba.
BACA LAGI: TFC-Persija Jakarta jalin kerjasama, misi gilap 'the next Bambang Pamungkas' antara 4 komponen
Gerak kerja awal
Impak segera yang ditonjolkan oleh Sheikh Farouk adalah seawal dia menjadi CEO bermula 16 Ogos lalu.
Sebaik saja menjadi CEO, Terengganu mengumumkan kerjasama bersama Bubbles O2 yang merupakan jenama minuman dikenali di Malaysia.
Malah, mereka turut menjalin kerjasama bersama Ice Power, jenama produk kesihatan dari Finland yang dapat memberikan manfaat kepada para pemain Terengganu selain membawa tajaan tunai kepada kelab.
Sheikh Farouk cuba untuk memperkemas situasi di Terengganu walaupun ketika dia mula berkhidmat, musim sudah pun bermula.
Namun begitu, langkah-langkah awal tersebut nyata berjaya mencuri hati penyokong dengan mereka berasakan ia adalah satu langkah baik dalam membina sebuah kelab yang lebih stabil.
Kerjasama pembangunan bola sepak
Langkah-langkah awal yang dibina oleh Sheikh Farouk lebih kepada kelestarian Terengganu di luar padang iaitu dari segi kewangan.
Namun begitu, hal di dalam padang tidak dilupakan dengan dia turut aktif memastikan profil Terengganu dalam dunia bola sepak serantau sentiasa pada tahap yang baik.
Ia dimulakan Pertubuhan Pentadbiran Wilayah Songkhla di Thailand apabila menjemput mereka dalam kejohanan amal empat penjuru berdepan Songkhla, Buriram United dan BG Pathum.
Sambil mereka dapat menentang kelab-kelab utama Thailand, Terengganu juga dapat menaikkan profil mereka sebagai kelab Malaysia di negara tersebut.
Usaha memajukan Terengganu dengan hal dalam padang juga dapat dilihat apabila mereka menjalin kerjasama bersama kelab gergasi Indonesia iaitu Persija Jakarta.
Kerjasama tersebut adalah langkah besar pertama Terengganu dala meningkatkan kualiti mereka sebagai kelab apabila mereka menjadi perjanjian mengenai pembangunan pemain muda, aspek kejurulatihan serta nilai komersial antara kedua-dua kelab.
Dengan profil Persija sebagai antara kelab utama Indonesia, pastinya kerjasama itu akan dapat membantu Terengganu meningkatkan profil mereka di negara itu.
Semuanya ambil masa
Walaupun permulaan yang baik ditonjolkan oleh Sheikh Farouk sebagai CEO Terengganu, penyokong harus sedar yang semua itu mengambil masa untuk hasilnya muncul.
Tidak semua kerjasama yang dijalin adalah bersifat secara terus kepada skuad dari segi kesannya, ada kerjasama yang cuma akan dapat dilihat secara belakang tabir oleh mereka berada di kelab.
Akan tetapi, semua strategi yang dijalankan semestinya perlu membawa manfaat kepada skuad Terengganu di padang secara langsung atau pun tidak.
Hal ini kerana, bagi penyokong, kejayaan membawa pulang trofi utama baik di peringkat tempatan atau domestik adalah keutamaan selepas menstabilkan dan melestarikan kewangan kelab.
Segalanya mengambil masa, penyokong harus bersabar saja. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram