[VIDEO] Reziq Bani Hani makin menyerlah di Iraq, jauh beza berbanding ketika bersama Selangor


  • Podium
  • Khamis, 18 Sep 2025

Reziq Bani Hani (kanan) kembali mencuri tumpuan di pentas Asia selepas menjaringkan satu gol dalam kemenangan 2-0 Al Zawraa SC ke atas FC Goa.

 

 

BEKAS penyerang Selangor FC, Reziq Bani Hani kembali mencuri tumpuan di pentas Asia selepas meledak satu gol untuk membantu kelab Iraq, Al Zawraa SC mencatat kemenangan 2-0 ke atas FC Goa dalam aksi pembukaan Kumpulan D saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim 2025/26 pada Rabu.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Jawaharlal Nehru, India itu, penyerang kelahiran Jordan tersebut memecah kebuntuan sejurus sebelum tamat separuh masa pertama selepas menyambar semula percubaan awalnya yang disekat pertahanan Goa untuk gol pertama perlawanan.

Gol tersebut bukan sahaja membuka laluan kemenangan buat Al Zawraa, malah menjadi simbol kebangkitan Reziq selepas meninggalkan Selangor FC pada penghujung musim 2024.

BACA LAGI: [VIDEO] Danial Asri sudah nampak, Aidil Sharin minta fans sabar andai mahu lihat impak Nistelrooy

BACA LAGI: Gaji 8 bulan tak bayar, nak main macam mana? — Gopi

 

 

 

 

Ketika bersama skuad Gergsai Merah, Reziq dilihat bergelut untuk menyerlah dalam tempoh singkatnya dalam saingan Liga Malaysia, namun penampilannya bersama Al Zawraa membuktikan dia masih berbisa di pentas lebih besar.

Walaupun FC Goa bermula garang dengan beberapa percubaan awal, termasuk satu tandukan Javier Siverio yang tersasar pada minit kelapan, Al Zawraa tampil lebih tenang dan menguasai permainan seiring berlalunya masa.

Selain Reziq, Nizar Al Rashdan turut mencatat nama sebagai penjaring menerusi gol lewat pada minit ke-90+5, sekali gus mengesahkan kemenangan selesa 2-0 untuk pelawat dari Iraq.

FC Goa pula gagal memanfaatkan deretan peluang di separuh masa kedua, termasuk beberapa percubaan dari Borja Herrera dan Siverio yang tidak menemui sasaran.

Tambahan masa lima minit juga tidak cukup untuk mereka mencari gol penyamaan, sebelum Al Rashdan menghukum dengan jaringan kedua.

Sejak tiba di Selangor pada awal musim, ketua pasukan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Jordan itu mempunyai minit permainan terhad dipercayai akibat kecederaan yang dialaminya.

Sebagai rekod, Reziq melakukan 10 penampilan bersama-sama Selangor dalam kesemua pertandingan dengan pemain itu cuma sekali beraksi sebagai kesebelasan utama ketika berdepan Kelantan Darul Naim FC.

Begitupun, gol menentang FC Goa menjadi isyarat jelas bahawa penyerang berketinggian 179 meter itu belum mengucapkan selamat tinggal kepada pentas besar Asia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram