'Macam kena scam', setahun sudah berlalu, pemenang pingat emas negara tanya MPM mana habuan?


  • Podium
  • Jumaat, 12 Sep 2025

Liek Hou menghadiahkan pingat emas pertama untuk Malaysia pada final perseorangan lelaki SU5 di Sukan Paralimpik Paris pada tahun lepas. — Instagram/CheahLiekHou

JAGUH badminton para negara, Cheah Liek Hou tampil meluahkan rasa kecewa di media sosial apabila mendakwa habuan yang dijanjikan selepas memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Paris 2024 masih belum diterima walaupun sudah setahun berlalu.

Luahan lantang berkenaan dikongsikan oleh atlet berusia 37 tahun tersebut menerusi Insta Story pada Khamis, sekali gus mencetuskan perhatian ramai peminat sukan tanah air.

BACA LAGI: Bekas mentor Lee Zii Jia kritikal, nahas babit 2 motosikal di Sydney

BACA LAGI: Goh Lui Ying fokus cungkil permata baharu badminton, percaya Malaysia di landasan terbaik

“Dah setahun Sukan Paralimpik di Paris berlalu tetapi habuan yang ditunai janji tak dapat lagi.

"Ini macam kena scam saja dengan mereka. Masa nak result, apa pun boleh dijanjikan, tapi selepas dapat pingat, apa korang buat bagi kita atlet para? Majlis Paralimpik Malaysia mana janjinya?” tulisnya.

Cheah Liek Hou bukanlah nama asing dalam arena sukan para apabila merupakan pemain badminton para pertama yang memenangi pingat emas dalam acara perseorangan lelaki SU5 di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Tangkap layar hantaran pertama Liek Hou. 

Kejayaan tersebut mengangkat namanya sebagai legenda badminton para negara apabila Liek Hou juga berjaya mempertahankan dominasi di Paris 2024 dengan satu lagi pingat emas buat negara.

Liek Hou juga pernah meraih tujuh gelaran juara dunia dan beberapa kali muncul juara di pentas Para Asia, dedikasi serta komitmennya meletakkan dia antara atlet para paling konsisten dan berpengaruh dalam sejarah badminton Malaysia.

Beberapa jam selepas hantaran pertamanya, Liek Hou tampil mengeluarkan penjelasan bagi mengelakkan salah faham.

Pemain badminton itu memberitahu bahawa tuntutan tersebut hanya melibatkan pihak tertentu iaitu Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan bukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahupun Majlis Sukan Negara (MSN).

 

 

“Berkenaan tuntutan saya sebelum ini ia hanya melibatkan pihak tertentu (MPM) yang menjanjikan habuan itu bukan hanya kepada saya tetapi juga rakan-rakan paralimpik yang lain.

“KBS dan MSN tiada kaitan dalam tuntutan ini. In fact, YB Hannah Yeoh, our minister telah uruskan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) pada 26hb Oktober 2024 sebulan selepas temasya Paralimpik. Kami hanya menuntut apa yang dijanji sahaja. Tidak lebih, tidak kurang,” jelasnya.

MPM sebelum ini dikatakan berjanji memberikan ganjaran wang tunai berjumlah RM60,000 seorang bakal menanti atlet berjaya membawa pulang pingat emas buat negara pada Sukan Paralimpik 2024 di Paris.

Tangkap layar hantaran kedua dari Liek Hou.

Namun, setahun selepas temasya Paris, janji tersebut didakwa masih belum dilunaskan dengan ia dilihat sekadar omong kosong sebagai motivasi untuk atlet para memberikan pingat emas kepada negara.

Luahan Liek Hou ini dianggap serius kerana ia melibatkan soal kebajikan atlet para negara yang selama ini bertungkus-lumus berjuang di pentas dunia meskipun berdepan pelbagai kekangan.

Setakat ini, Majoriti sudah mengubungi pihak Majlis Paralimpik Malaysia, namun masih belum menerima sebarang respons mahupun mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung isu berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram