Liek Hou akan terima insentif RM60,000 seperti dijanji — Hannah Yeoh


  • Podium
  • Sabtu, 13 Sep 2025

Hannah menjelaskan dalam hantaran lain bahawa isu itu hanya melibatkan MPM, bukan kementerian mahupun MSN.

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan insentif tunai RM60,000 yang dijanjikan kepada pemenang pingat emas Paralimpik, Cheah Liek Hou akan diberikan seperti yang dijanjikan. 

Hannah berkata, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) telah memberi jaminan bahawa pembayaran akan dibuat kepada pemenang pingat emas Paralimpik Paris itu dalam masa terdekat.

Beliau berkongsi bahawa sudah dimaklumkan mengenai hantaran media sosial Liek Hou berhubung kelewatan menerima insentif berkenaan.

BACA LAGI: 'Macam kena scam', setahun sudah berlalu, pemenang pingat emas negara tanya MPM mana habuan?

BACA LAGI: Paralimpik Paris: Liek Hou, Fareez Anuar menang mudah aksi pertama acara badminton

“Tetapi saya juga menerima penjelasan daripada MPM bahawa ganjaran itu akan diberikan tidak lama lagi. Mereka sudah menetapkan tarikh. Dengan itu, saya anggap perkara ini selesai,” katanya pada Jumaat (12 September) di Arena Premier Hotel, Seremban.

Atlet berusia 37 tahun yang berjaya mempertahankan kejuaraan perseorangan lelaki SU5 (kecacatan anggota atas), menyatakan di Instagram bahawa beliau masih belum menerima ganjarannya. 

Namun, beliau menjelaskan dalam hantaran lain bahawa isu itu hanya melibatkan MPM, bukan kementerian mahupun Majlis Sukan Negara (MSN).

Tangkap layar hantaran pertama Liek Hou. 

Sementara itu, Hannah menyampaikan Geran Padanan Sukan berjumlah RM275,000 kepada Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba) bagi penganjuran Kejohanan Fiba Bawah-16 Piala Asia Divisyen B yang berlangsung di Karisma Arena, Seremban dari 13 hingga 19 September.

Beliau menambah, kementerian turut meluluskan dana untuk 20 kejohanan bola keranjang di seluruh negara di bawah Dana Komuniti Sukan.

"Bola keranjang wanita Malaysia sentiasa membanggakan negara, khususnya di peringkat serantau. Malah, Malaysia merupakan pasukan paling berjaya di Sukan SEA dengan 13 pingat emas dalam acara lima lawan lima," katanya.

Sehubungan itu, Hannah berkata, terdapat peruntukan sebanyak RM99,000 bagi persiapan pasukan kebangsaan menjelang Sukan SEA Thailand pada Disember. — The Star/S. SAKTESH

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram