Hanya 120 penyokong dibenar masuk ke Stadium Bishan, Selangor FC optimis sorakan Gergasi Merah tetap bergema


  • Podium
  • Rabu, 17 Sep 2025

Gergasi Merah akan menentang Lion City Sailors pada 1 Oktober 2025. — Facebook/SelangorFC

PIHAK berkuasa Singapura mengesahkan hanya lima peratus daripada kapasiti Stadium Bishan, Singapura diperuntukkan kepada penyokong pelawat bagi aksi Selangor FC menentang Lion City Sailors pada 1 Oktober 2025.

Perkara itu bermaksud hanya 120 penyokong Gergasi Merah dibenarkan masuk daripada jumlah penuh 2,400 penonton, ia difahamkan selaras dengan peraturan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Selangor FC dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan mereka telah mengadakan rundingan bersama pengurusan Lion City untuk menambah kuota penyokong, namun keputusan akhir ditentukan selepas mengambil kira pertimbangan serta nasihat operasi perlawanan oleh pihak berkuasa Singapura.

BACA LAGI: Kunjungan terakhir kelab Thailand ke MBPJ ranapkan misi Selangor di Asia, rencat permulaan Kino

BACA LAGI: [VIDEO] Makin tajam depan gawang, striker Sabah-Selangor pimpin senarai penjaring hatrik Liga Super

"Kami amat menghargai sokongan tidak berbelah bahagi para penyokong, sama ada di tanah air mahupun di luar negara.

"Kami yakin Stadium Bishan tetap akan bergema dengan semangat dan sorakan Gergasi Merah. Demi kebanggaan," kata kelab berkenaan memetik kenyataan ringkas dikeluarkan pada Rabu.

Sebelum bertandang ke Stadium Bishan bagi aksi bertemu Lion City Sailor, Gergasi Merah terlebih dahulu menerima kunjungan Bangkok United bagi perlawanan pertama Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) 2025/26 pada Khamis.

Beraksi di laman sendiri iaitu Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Khamis itu, perlu dimanfaatkan Selangor FC sepenuhnya kerana dapat mengelak risiko keletihan akibat perjalanan selain tiada tekanan penyokong.

Skuad Gergasi Merah yang diletakkan dalam Kumpulan G bakal berdepan kelab sekitar Asia Tenggara iaitu Bangkok United (Thailand), Persib Bandung (Indonesia) dan Lion City Sailors (Singapura). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram