
KETIKA ramai remaja seusianya lebih tertarik dengan dunia kecantikan dan teknologi terkini, seorang gadis berusia 17 tahun dari Malaysia, Nur Airen Sofea Mohd Nor Aszeril memilih laluan berbeza apabila mencuri perhatian dunia sukan ekstrem menerusi aksi memukau dalam BMX Freestyle Flatland.
Di sebalik perwatakan lembut dan feminin, kelincahan Nur Airen Sofea atau mesra disapa Sofea di atas basikal BMX nyata memukau warga maya, terutama apabila videonya melakukan pelbagai aksi gaya bebas tular di media sosial.
Lebih membanggakan, Sofea bukan sekadar pelumba remaja biasa apabila berjaya muncul sebagai juara kebangsaan BMX Flatland selama tiga tahun berturut-turut bermula pada 2023, 2024 dan terbaru pada Kejohanan Kebangsaan 2025 sekali gus melakar kejuaraan hatrik yang sukar ditandingi.
BACA LAGI: [VIDEO] Makin tajam depan gawang, striker Sabah-Selangor pimpin senarai penjaring hatrik Liga Super
BACA LAGI: [VIDEO] 'Rasanya seperti baru semalam', Safawi Rasid pimpin 'generasi emas' terakhir Harimau Muda
Nur Airen Sofea (kanan) merupakan wakil tunggal Malaysia yang beraksi di Jepun. — Facebook/katunaszeril
Kejayaan itu menjadi tiket buat Sofea untuk layak mewakili Malaysia ke Kejohanan BMX Freestyle Asia 2025 yang sedang berlangsung di Chikugo Regional Park BMX Park, Jepun bermula 13 hingga 15 September ini.
Difahamkan, Sofea kini sedang bersaing dalam pusingan kelayakan bagi kategori Flatland dan merupakan wakil tunggal Malaysia dalam acara tersebut.
Menerusi satu perkongsian video oleh bapanya, Mohd Nor Aszeril Mohd Nor yang juga bekas atlet BMX negara sekitar 2004, kelihatan Sofea mempersembahkan beberapa aksi teknikal dan skil tinggi dalam pusingan awal kejohanan.
Persembahannya disifatkan mantap, penuh keyakinan dan berpotensi untuk melangkah jauh di pentas Asia.
Dengan semangat juang yang tinggi serta sokongan penuh keluarga, khususnya bapanya yang turut menjadi jurulatih peribadi, Sofea kini dilihat sebagai permata baharu sukan BMX wanita negara yang bersinar di peringkat antarabangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram