Sorok gambar DP seolah ada isu gaji, CEO PDRM tampil jelaskan situasi sebenar 


  • Podium
  • Sabtu, 13 Sep 2025

PDRM yang dikatakan mempunyai masalah gaji gagal mara ke pusingan suku akhir Piala FA. — Facebook/PDRMFC

KELAB PDRM FC nampaknya menjadi pasukan Liga Super pertama musim ini yang didakwa terpalit dengan masalah gaji selepas akaun media sosial kelab itu tidak menggunakan gambar profil. 

Selain gambar profil, skuad Sang Saka Biru juga memuat naik gif dompet kosong yang seolah-olah memberi gambaran isu kewangan sememangnya sedang membelenggu pasukan Lembah Klang tersebut. 

Sejak hantaran di laman X berkenaan, penyokong mula mencetuskan spekulasi bahawa kekalahan di peringkat Piala FA dan hanya melakar tiga seri dan satu kekalahan dalam aksi Liga Super disebabkan isu luar padang mereka. 

BACA LAGI: Terhantuk tiang gol ketika 'save' bola, penjaga gol KRW lebih bimbang keputusan atas padang

BACA LAGI: FAM ‘pecat’ Perlis FA, dilarang terlibat aktiviti bola sepak

Ketua jurulatih PDRM, Eddy Gapil, bagaimanapun cuba mengelak daripada mengulas isu berkenaan dengan alasan ia bukan bidang kuasanya untuk menjawab mengenai khabar angin berkenaan. 

"Saya rasa saya bukan orang yang sesuai untuk menjawab, lebih baik pihak pengurusan yang lakukan," katanya selepas PDRM menang 1-0 ke atas Negeri Sembilan dalam aksi timbal balik pusingan 16 terbaik Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Jumaat. 

Meskipun menang, PDRM gagal mara ke pusingan seterusnya susulan tewas secara agregat kerana Negeri Sembilan merekodkan kemenangan besar 5-0 dalam aksi pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan pada 18 Ogos lalu. 

Tangkap layar hantaran admin PDRM FC.

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif kelab, Asistan Superintenden Mohamad Hafiz Zainal Abidin segera menafikan pasukan sedang berdepan masalah kewangan, sambil menegaskan tiada tunggakan gaji kepada pemain mahupun pegawai.

"Setakat ini, kita tidak berdepan sebarang masalah kewangan. Memang ada perkara di luar padang, lebih kepada isu pentadbiran.

"Tetapi kami sedang bekerja keras untuk memastikan pasukan terus berada di landasan yang betul. InsyaALLAH jawapan rasmi akan diberikan tidak lama lagi," kata Hafiz ketika ditemui selepas perlawanan. 

Percanggahan antara jawapan berhati-hati Eddy dan penafian tegas Mohamad Hafiz berkenaan hanya menambah kekeliruan, sekali gus membuatkan peminat tertanya-tanya versi mana yang benar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram