Berpeluang ke WAGC, 70 pemain golf rebut gelaran kebangsaan di final PNAGS


  • Podium
  • Sabtu, 13 Sep 2025

PNAGS akan berlangsung pada 29 dan 30 September di SGCC di Shah Alam.

SERAMAI 70 pemain golf amatur bakal berentap dalam edisi kelima Perodua National Amateur Golf Series (PNAGS) peringkat akhir kebangsaan yang akan berlangsung pada 29 dan 30 September di Saujana Golf & Country Club (SGCC) di Shah Alam, Selangor. 

Kejohanan selama dua hari itu akan menyaksikan para finalis bermain dalam dua pusingan strokeplay nett format, dengan gelaran juara kebangsaan serta peluang mewakili negara di peringkat antarabangsa menjadi taruhan.

Juara kejohanan itu akan mendapat hak untuk mewakili Malaysia ke World Amateur Golf Championship (WAGC) 2025, yang dijadualkan berlangsung bulan depan di Jeju, Korea Selatan.

BACA LAGI: Golfer muda Johor bawa pulang Piala Presiden acara golf amal Pekema edisi ke-11

BACA LAGI: Golf in School tanam nilai disiplin, fokus dan semangat kesukanan 100 murid SK Taman Desa

Edisi tahun ini turut menampilkan saingan berpasukan, dengan pasukan negeri bersaing untuk merebut Perodua Challenge Trophy.

Majlis makan malam serta upacara mengibarkan bendera akan berlangsung pada 28 September di The Saujana Hotel, sebelum pusingan pertandingan dijalankan pada 29 dan 30 September.

Acara itu akan menutup tirai dengan majlis penyampaian anugerah serta upacara penutup di Ballroom SGCC, yang akan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang dijangka menyampaikan ucapan serta menyerahkan hadiah kepada para pemenang.

Dianjurkan oleh Delta World, PNAGS berfungsi sebagai platform rasmi Malaysia di bawah siri WAGC iaitu sebuah kejohanan golf amatur terbesar dunia.

PNAGS akan berlangsung di SGCC di Shah Alam, Selangor. 

Edisi 2025 ini menandakan kemuncak kepada siri kelayakan yang diadakan di seluruh negara sepanjang tahun.

“Dengan berlangsung selama dua hari saingan kompetitif, final tahun ini memberikan ujian sebenar dari segi kemahiran, konsistensi dan ketabahan untuk 70 pemain golf amatur terbaik negara,” kata pengerusi penganjur.

Perodua selaku penaja utama, bersama rakan kongsi dan penaja lain, terus menyokong perkembangan kejohanan ini, sekali gus menyumbang kepada pembangunan golf di peringkat akar umbi serta membuka laluan untuk pemain amatur bersaing di pentas dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram