
SIAPA sangka, hanya dalam tempoh lapan bulan mengenali sukan pickleball, Syabil Shaharudin sudah berjaya mencipta nama sebagai antara pemain muda yang menyerlah dan jurulatih pilihan ramai.
Menariknya, lebih 40 pelajar kini berada di bawah bimbingan Syabil termasuk beberapa selebriti terkenal tanah air.
Antara nama besar yang sudah mendapatkan tunjuk ajar daripadanya ialah anggota kumpulan De Fam, Manggis dan Azira Shafinaz serta kakaknya, Azrin Shafinaz.
Tidak cukup dengan itu, Syabil berkongsi bahawa pelakon tanah air iaitu Haris Anuar dan isterinya juga bakal menyertai sesi latihan sukan pickleball bersamanya.
BACA LAGI: Paramount Cup tawar hadiah lebih RM113,000, buru permata pickleball tanah air
“Ramai cakap mereka nampak banyak peningkatan bila berlatih dengan saya. Bagi saya, perkara pertama yang penting ialah komitmen.
“Kalau main sukan tanpa komitmen, memang sukar untuk lihat hasil. Komitmen itulah yang akan buat seseorang sanggup berkorban masa, tenaga, malah jiwa raga demi sukan yang mereka cintai,” katanya kepada Majoriti.
Walaupun baru beralih ke pickleball pada Januari lalu, atlet berusia 24 tahun berkenaan bukan asing dalam dunia sukan raket.
Syabil bermula bermula main tenis pada usia empat tahun.
Sejak berusia empat tahun lagi, Syabil sudah membesar dengan tenis dan kini turut melatih pemain-pemain muda berusia bawah lapan hingga 12 tahun sebagai persediaan ke kejohanan.
Pengalaman luas itulah yang membuatkan peralihan ke pickleball menjadi lebih mudah dengan pengalaman pertamanya apabila dipilih rakannya untuk menyertai Malaysian Super Pickleball League (MSPL).
Tanpa sebarang pengalaman, Syabil memberanikan diri dan mengejutkan ramai apabila berjaya meraih kemenangan pada penampilan pertamanya.
Dari situ, hampir setiap minggu dia terlibat dalam pelbagai kejohanan termasuk di peringkat antarabangsa.
“Saya mula Januari, terus main liga dan Alhamdulillah, menang terus. Selepas itu, jadual memang padat. Dari Mac sampai Julai hampir setiap minggu ada pertandingan.
“Cabaran paling besar bila bertemu pemain luar negara. Mereka bawa corak permainan yang berbeza dan itu banyak ajar saya untuk lebih bijak menyesuaikan strategi,” jelasnya.
Di sebalik kesibukan mengendalikan kelas hampir setiap hari yang memakan masa 40 hingga 50 jam seminggu, Syabil masih memastikan latihan peribadinya tidak terabai.
Baginya, keseimbangan antara mengajar dan mengekalkan prestasi sebagai pemain kompetitif adalah kunci.
Selepas beraksi dalam beberapa kejohanan besar termasuk PPA Malaysia dan saingan di Vietnam, Syabil kini mengintai peluang untuk membawa namanya ke Amerika Syarikat (AS), pusat tumpuan pickleball dunia.
Manggis (kiri) atau nama sebenarnya Nurshazwani Shamsuddin antara selebriti tanah air yang berguru dengan Syabil.
“Impian terbesar saya adalah bermain di AS. Kalau boleh, saya mahu bawa nama Malaysia lebih jauh. Dengan sokongan yang ada sekarang, pickleball berpotensi besar untuk berkembang jadi sukan induk seperti badminton,” ujarnya.
Syabil turut berharap perkembangan pesat pickleball di Malaysia tidak dicemari unsur politik yang boleh menggugat perpaduan komuniti sukan ini.
“Kita nak pickleball berkembang secara sihat. Jangan ada campur tangan politik yang berlebihan. Kita semua nak maju sama-sama,” katanya.
Dengan gelanggang pickleball yang semakin banyak dibuka di seluruh negara, sistem ranking yang diperkenalkan dan minat masyarakat yang semakin tinggi, Syabil optimis masa depan sukan itu cerah di Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram