Paramount Cup tawar hadiah lebih RM112,000, buru permata pickleball tanah air


  • Podium
  • Khamis, 04 Sep 2025

Kejohanan itu akan berlangsung dari 23 hingga 26 Oktober 2025 di PLAYA Racquet Club @ PARC Subang baru dibuka, menampilkan 18 kategori merangkumi perseorangan, beregu dan beregu campuran mengikut tahap kemahiran serta kumpulan umur.

PARAMOUNT Property bakal menempa nama dalam kalendar sukan negara menerusi penganjuran Paramount Cup 2025, sebuah kejohanan pickleball dengan hadiah berjumlah RM112,500, menjadikannya antara kejohanan Pickleball paling bernilai di Malaysia setakat ini.

Lebih daripada sekadar pertandingan, inisiatif anjuran Paramount Property ini turut menandakan permulaan kepada misi jangka panjang dalam membina komuniti aktif, sihat dan terhubung menerusi pendekatan pasca-pembangunan hartanah.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Paramount Property, Chee Siew Pin menegaskan bahawa fokus utama syarikat bukan sahaja pada pembinaan kediaman, tetapi juga dalam mencipta nilai jangka panjang buat komuniti selepas projek diserahkan.

BACA LAGI: Pickleball kini pilihan Sazzy Falak

BACA LAGI: [VIDEO] 'Aktiviti ini sesuai untuk ibu, anak', gelanggang pickleball Amelia di Sentul semakin dapat sambutan

“Ramai pemaju, selepas serah kunci, terus tamat di situ. Tetapi bagi kami, tumpuan diberikan kepada fasa pasca-pembangunan dengan memberikan pengalaman kepada pelanggan serta nilai tambah kepada komuniti,” katanya kepada Majoriti.

Siew Pin turut menekankan bahawa kejohanan ini bukan sekadar tentang hadiah wang tunai semata-mata, tetapi sebagai platform membina gaya hidup sihat dan hubungan sosial yang semakin hilang dalam masyarakat moden.

“Kami mahu orang ramai terlibat dan berinteraksi secara sihat. Wang hanya untuk galakan. Apa yang lebih penting adalah nilai kekeluargaan dan komuniti yang semakin terhakis hari ini.

“Anak-anak saya sendiri pun bila makan malam, mereka hanya ber-WhatsApp di meja makan. Kita mahu kembalikan semangat bergaul dan hidup aktif seperti dulu,” ujarnya.

Paramount juga melihat potensi besar sukan Pickleball dalam menarik minat pelbagai lapisan masyarakat, termasuk bekas atlet profesional.

Disebabkan itu, Siew Pin percaya dan berharap kejohanan yang dianjurkan oleh pihaknya itu akan menjadi platform untuk menemui permata dalam sukan pickleball.

CEO Paramount Property, Chee Siew Pin. 

“Saya berbual dengan beberapa pemain yang diperkenalkan oleh Brian, semuanya bekas pemain tenis negara dan kini beralih ke Pickleball. Kalau sukan ini terus disokong, saya yakin kita boleh lahirkan permata Malaysia dalam sukan ini,” tambah beliau.

Sebagai pemaju hartanah, Siew Pin bercadang untuk memperluaskan kemudahan Pickleball ke semua pembangunan sedia ada dan baharu termasuk di Cyberjaya, dengan memanfaatkan fasiliti seperti gelanggang badminton yang boleh ditukar suai.

Sementara itu, Pengarah PLAYA Racquet Club, Brian Choo menyatakan sambutan awal terhadap kejohanan ini sangat menggalakkan dengan 200 peserta sudah mendaftar sebelum promosi rasmi dimulakan.

“Kami belum mula kempen pemasaran pun, tetapi 200 peserta sudah daftar. Ini menunjukkan minat yang tinggi dalam sukan ini.

“Kategori junior belum diperkenalkan kerana kekangan masa, tetapi ia sedang dirancang untuk masa depan,” jelasnya.

Bagi memeriahkan lagi kejohanan dan mencetus semangat kompetitif, PLAYA turut membawa masuk beberapa nama besar antarabangsa seperti Vansheek Kapadia (India), Kyle Stoker dan Nancy Riley dari Australia.

Manakala barisan pemain profesional tempatan pula termasuk Khoo Er Yang, Shabil Shaharuddin dan Fauzan Shaharuddin.

“Kenapa kami jemput pemain antarabangsa? Kerana mereka bantu mencetus keterujaan dan inspirasi dalam komuniti. Penonton akan lebih teruja untuk hadir dan melihat sendiri tahap permainan yang tinggi,” ujar Brian.

Beliau juga menyatakan bahawa kejohanan ini berpotensi menjadi acara tahunan utama, sama seperti larian Bridge to Bridge dan Bukit Banyan Run anjuran Paramount sebelum ini.

Untuk info, kejohanan itu akan berlangsung dari 23 hingga 26 Oktober 2025 di PLAYA Racquet Club @ PARC Subang baru dibuka, menampilkan 18 kategori merangkumi perseorangan, beregu dan beregu campuran mengikut tahap kemahiran serta kumpulan umur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram