Piala Agong 2025: Terengganu mula langkah kanan, benam WP Kuala Lumpur di laman sendiri


  • Podium
  • Isnin, 08 Sep 2025

Terengganu meraih kemenangan dalam aksi pembukaan Piala Agong 2025 selepas membenam WP Kuala Lumpur.

HADIR selaku pasukan bukan pilihan musim ini, namun Terengganu tetap mempunyai aura tersendiri untuk meraih kemenangan bergaya di laman sendiri untuk perlawanan pembukaan Piala Agong setelah menewaskan Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur yang berakhir dengan keputusan 49-11 di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu pada Sabtu.

Beraksi dalam suasana bahang, cuaca panas tidak memberi halangan buat pasukan tuan rumah untuk mendapatkan tiga mata pertama melalui pemain flyhalf, Ahmad Aiman Asrul yang menyempurnakan tendangan penalti mudah untuk menghukum kesilapan pasukan pelawat seawal minit kedua permainan.

Terengganu di bawah kendalian ketua jurulatih, Aminuddin Sulong berjaya mencorakkan penguasaan padang untuk tambahan tiga jatuhan try, dua tendangan conversion dan tambahan satu lagi tendangan penalti, sekali gus mencipta jurang besar perlawanan.

BACA LAGI: Piala Agong 2024: Selangor tetap hormati lawan, layak peringkat kalah mati bersama pemain SUKMA

BACA LAGI: [VIDEO] Dari sukan gimnas ke ragbi, prospek original Ampang mahu julang Malaysia ke Piala Dunia

Perlawanan pembukaan Piala Agong musim ini antara Terengganu (jersi hitam putih) bertemu WP Kuala Lumpur.

Pasukan pelawat hanya berjaya mencuri lapan mata sebelum tamat permainan separuh masa pertama yang berkeputusan 25 berbalas lapan memihak kepada Terengganu.

Babak separuh masa kedua menyaksikan minit-minit pertama permainan bermula seimbang bagi kedua-dua pasukan, namun kegelojohan pasukan lawan merobek pertahanan Terengganu memberi ruang untuk pemain import tuan rumah, Waidilo Alipate mencuri lima mata melalui jatuhan try di minit ke-47 permainan, namun tiada sebarang tambahan mata melalui tendangan conversion berjaya dihasilkan untuk pasukan Terengganu.

Berjurang besar untuk meletakkan Terengganu selesa mendahului permainan 30-8 memberi tekanan yang mendesak buat WP Kuala Lumpur yang hadir dengan reputasi di bawah kendalian bekas jurulatih kebangsaan, Ahmad Fadzlee Ahmad Idriss yang masih gagal mencipta peluang di stadium keramat tuan rumah.

Kesilapan demi kesilapan mudah oleh jentera serangan pasukan pelawat berjaya dimanfaatkan Terengganu untuk terus menambah 14 mata penuh melalui dua jatuhan try dan dua tendangan conversion pada minit-minit akhir permainan.

Aiman Asrul membuat tendangan conversion ketika Terengganu menumpaskan Kuala Lumpur.

Walaupun sedemikian, pasukan pelawat melalui pemain flyhalf, Shree Sharman masih mampu untuk menambah tiga mata melalui tendangan penalti setelah jentera pertahanan tuan rumah gagal menahan asakan demi asakan di benteng pertahanan sehingga memihak kepada pasukan lawan.

Keghairahan pasukan tuan rumah untuk membelasah pasukan pelawat turut menyaksikan layangan kad kuning pertama buat Terengganu disimpan kemas oleh pemain gantian, Muhammad Shafiq Mohd Zhahid di minit ke-74 permainan.

Jatuhan try terakhir sebelum wisel tamat permainan ditiup milik pemain sayap tuan rumah Muhammad Hadi Haiqal Abdullah sekali gus menoktahkan perlawanan pembukaan musim ini buat kedua-dua pasukan berkeputusan 49-11 yang memberi kemenangan pertama buat Terengganu di laman sendiri.

"Syukur, Alhamdullilah untuk kemenangan pertama buat Terengganu dalam perlawanan pembukaan musim ini yang mana sebenarnya untuk perlawanan hari ini adalah peluang sama rata buat kedua-dua pasukan.

Aminuddin Sulong membuat penampilan pertama selaku ketua jurulatih Terengganu di pentas Piala Agong.

"Kami mempertaruhkan hampir 90 peratus muka-muka baru yang membuat penampilan pertama di pentas Piala Agong ini di mana rata-rata pemain ini adalah mereka yang telah beraksi dalam Liga Ragbi Terengganu pada tahun ini. Begitu juga beberapa pemain Terengganu dari skuad SUKMA terdahulu.

"Tidak dinafikan untuk perlawanan ini banyak kesilapan komunikasi telah berlaku di dalam padang yang merencatkan taktikal pasukan namun untuk keputusan hari ini tidak bermakna meletakkan pasukan ini dalam keadaan selesa untuk perlawanan seterusnya bertemu Pahang nanti," ujar Aminuddin Sulong yang membuat penampilan pertama sebagai ketua jurulatih di pentas kejuaraan Piala Agong ini.

Pada minggu pertama pembukaan Piala Agong musim ini turut meyaksikan 3 perlawanan lain telah berlangsung di mana Johor mencipta sensasi tersendiri untuk membelasah Pahang yang berkeputusan 122 berbalas 17 manakala Perlis membuat kejutan untuk menewaskan Kelantan yang berakhir dengan keputusan 21-10.

Manakala Selangor turut meraih kemenangan pertama setelah menewaskan Kedah di laman sendiri yang berakhir dengan keputusan 46 berbalas tiga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram