
BEKAS pemain beregu campuran negara, Goh Lui Ying kini memberi tumpuan penuh dalam usaha melahirkan bakat baharu badminton tanah air menerusi program pembangunan dan akademi bimbingannya, Olympian Badminton Academy.
Lui Ying optimis bahawa Malaysia berada di landasan yang tepat dalam melahirkan generasi pemain pelapis, hasil komitmen terhadap pembangunan akar umbi.
"Memang kita tak perlu risau tentang pemain utama (pemain kebangsaan) kita sekarang. Apa yang penting ialah pembangunan bakat.
BACA LAGI: Mana nak beli objek dekorasi lama? 5 lokasi pilihan pemburu antik di Kuala Lumpur
"Kalau pembangunan tidak bagus, kita akan kekurangan pemain untuk meneruskan legasi. Jadi fokus saya sekarang memang pada pembangunan," katanya kepada Majoriti semasa pelancaran Kidslympic Malaysia 2025 di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Ahad.
Tambah beliau, pengalaman sebagai wakil negara di peringkat Olimpik banyak membantunya memahami keperluan membina atlet muda sejak peringkat awal.
Lui Ying juga memastikan mereka mendapat pendedahan menyeluruh bukan sahaja dari segi kemahiran teknikal tetapi juga pengurusan diri.
"Buat masa ini saya buat kedua-dua sekali, melatih dan juga mengurus. Teknik pengajaran saya pula berbeza untuk pembangunan bakat berbanding melatih pemain yang sudah ada pengalaman.
"Saya masih belajar dalam bidang pembangunan dan juga pengurusan," akuinya.
Selain mengurus dan melatih di akademi sendiri, Lui Ying juga aktif menganjurkan program seperti Kidslympic, satu inisiatif sukan kanak-kanak yang bertujuan memupuk minat awal dalam kalangan generasi muda terhadap gaya hidup sihat dengan aktiviti bersukan.
"Kidslympic diadakan sebab kita nak wujudkan satu platform untuk anak-anak yang ada minat nak cuba sukan, walaupun bukan ke arah profesional.
"Kita mulakan dari kesihatan dan keseronokan dulu. Harapan saya supaya kita dapat galakkan lebih ramai anak-anak cuba pelbagai sukan dan kita sediakan peluang kepada mereka yang mungkin tak tahu mereka berbakat," jelasnya lagi pada acara berkenaan.
Antara ibu bapa yang hadir bagi menyokong minat anak-anak.
Menurut Lui Ying, Kidslympic edisi pertama yang dianjurkan pada tahun lalu telah mendapat sambutan baik dan pihaknya kini dalam perancangan untuk menganjurkan edisi lebih besar pada Oktober ini.
Beliau turut mengakui penganjuran program seumpama itu mampu mengubah pemikiran segelintir ibu bapa.
"Kadang-kadang ada ibu bapa rasa anak masih terlalu kecil untuk mula bersukan. Tapi bagi saya, sukan ini tidak kira umur berapa pun boleh mula. Apa yang penting, kita cuba bagi pendedahan awal dan bina semangat mereka," ujarnya.
Antara aktiviti sukan yang disediakan untuk kanak-kanak selain daripada larian.
Berkongsi cabaran terbesar dalam usaha memupuk generasi belia melalui acara seperti Kidslympic, Lui Ying berkata, bahawa penganjuran program itu bukan mudah kerana perlu mengubah cara fikir masyarakat khususnya ibu bapa.
"Sebab Kidslympic ini boleh kita katakan yang pertama di Malaysia, jadi mungkin agak susah sedikit nak mula sebab ada ibu bapa rasa anak terlalu kecil lagi untuk mula bersukan.
"Tapi bagi saya, saya nak beri satu pemikiran bahawa sukan ini tidak kisah umur berapa pun boleh mula," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram