
SABAN tahun landskap bola sepak tanah air akan menyaksikan kemunculan banyak bakat-bakat baharu yang akan mewarnai saingan Liga Malaysia (Liga M) sama ada mereka akan bermain di peringkat Liga Super atau Liga A1 Semi Pro.
Jika bernasib baik, ada antara bakat pemain muda berkenaan akan menjadi sorotan media lagi-lagi jika dia bermain untuk kelab yang mempunyai reputasi besar seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) atau Selangor FC.
Bagaimanapun, status elit sesebuah kelab itu tidak menjamin setiap pemain yang sedang meningkat naik akan dipandang berikutan persaingan pasti wujud dalam kalangan 'ubi muda' berkualiti.
BACA LAGI: Bintang Selangor, TFC ketuai cabaran Harimau Muda di Piala Asia B23
Misalnya, pemain muda yang sudah lama bertapak di arena bola sepak tanah air iaitu Muhammad Aliff Izwan Yuslan masih belum mendapat liputan meluas meskipun sudah lama menyarung jersi Gergasi Merah.
Berbanding rakan-rakan seperjuangannya seperti Harith Haiqal, Zikri Khalili, Mukhairi Ajmal, bintang JDT iaitu Arif Aiman Hanapi serta pertahanan muda Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul, Aliff Izwan masih kurang mendapat tempat dalam skuad utama.
Jika kita telesuri karier awal pemain berusia 21 tahun berkenaan bersama Gergasi Merah, Aliff Izwan pada awalnya menyertai pasukan Bawah 21 tahun (B-21) Selangor dan perlahan-lahan dinaikkan pangkat ke skuad senior pada 2023.
Pada 11 Mac 2022, Aliff Izwan melakukan penampilan sulung bersama pasukan utama Selangor apabila dimasukkan pada minit ke-61 menggantikan Mukhairi Ajmal dalam aksi Piala FA di laman sendiri yang berkesudahan dengan kemenangan 6–0 ke atas Harini.
Selepas beberapa kali hanya disenaraikan sebagai pemain simpanan tanpa diturunkan dalam perlawanan Liga Super, Aliff Izwan akhirnya membuat penampilan sulung liga pada 10 April apabila menggantikan Caion pada minit ke-92 dalam kemenangan 4–1 menentang Kedah Darul Aman.
Pada 7 Jun 2023, Aliff Izwan berjaya menjaringkan gol pertamanya bersama pasukan utama ketika membantu Gergasi Merah meraih kemenangan 7–1 di tempat lawan menentang Kelantan United dalam aksi liga.
Selepas perlahan-lahan berhasil mendapatkan tempat dalam Gergasi Merah, anak jati Klang, Selangor itu merekodkan lima gol dan dua bantuan jaringan dalam 34 perlawanan Aliff Izwan diturunkan.
Manakala, bersama skuad Bawah 23 tahun (B-23) pula apa kurangnya apabila Aliff Izwan yang boleh beraksi sebagai penyerang tengah dan pemain sayap itu berhasil mencetak enam gol dan dua bantuan jaringan dalam 12 kaps.
Daripada enam gol yang disumbangkan Aliff Izwan, tiga daripadanya terhasil ketika Aliff Izwan membantu skuad B-23 membelasah Mongolia 7-0 dalam aksi kedua Kumpulan F kelayakan Piala Asia B-23 di Stadium Thammasat, Bangkok pada 6 September lepas.
Walaupun skuad kendalian Nafuzi Zain gagal mara secara automatik ke pusingan akhir di Arab Saudi tahun depan, kualiti dan ketenangan yang ditampilkan Aliff Izwan sepanjang kempen menjadi titik cerah buat masa depan Harimau Muda.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Aliff Izwan merupakan salah satu permata tersorok bola sepak Malaysia dengan keupayaannya bermain di pelbagai posisi serangan, kebolehan teknikal serta visi permainan jelas menunjukkan potensi besar yang dimiliki.
Jika terus diberi peluang dan bimbingan yang konsisten, pemain muda itu bukan sahaja bakal menjadi aset utama Selangor FC, tetapi juga tonggak penting Harimau Malaya pada masa akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram