[VIDEO] Dua 'kilang bakat' Terengganu sedia menyinar di UniSZA IYC 2025


  • Podium
  • Jumaat, 12 Sep 2025

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Professor Madya Dato' Ts. Dr. Mohd Hafiz Yusoff Che Abdullah(tengah bertopi putih) sewaktu menyempurnakan majlis pelancaran UniSZA International Youth Cup 2025 yang telah berlangsung di Stadium UniSZA, Kampus Gong Badak, Terengganu.

DEBARAN sepak mula kejohanan UniSZA International Youth Cup (IYC) 2025 semakin terasa apabila acara julung kali anjuran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan membuka tirainya pada 13 September sehingga 14 September ini.

Kejohanan selama dua hari itu akan berlangsung di Stadium UniSZA, Kampus Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu, menyaksikan 94 akademi dari dalam dan luar negara termasuk Singapura dan Indonesia sudah mengesahkan penyertaan.

Penganjuran sulung ini bakal menyaksikan pertembungan epik akademi bola sepak di peringkat usia bawah bawah 8 tahun hingga 14 tahun dengan mempertandingkan empat kategori usia iaitu Bawah 14 tahun, Bawah 12 tahun, Bawah 10 tahun dan Bawah 8 tahun. 

BACA LAGI: UniSZA julang Pantai Timur, cipta sejarah anjur kejohanan antarabangsa bola sepak peringkat akar umbi

BACA LAGI: [VIDEO] Baru injak usia 2 tahun, UniSZA Soccer Kids Academy sudah pikat JDT, NFDP

Kejohanan ini menawarkan jumlah hadiah keseluruhan sebanyak RM30,000, menjadikannya antara penganjuran akar umbi paling bernilai di rantau Pantai Timur.

UniSZA Soccer Kids Academy sendiri antara kelab yang akan beraksi pada kejohanan bertaraf antarabangsa ini dengan harapan mampu meraih keputusan terbaik dengan sekurang-kurangnya layak ke peringkat separuh akhir bagi setiap kategori.

Norhisham Hassan optimis dengan peluang dimiliki anak buahnya.

Ketua jurulatihnya, Mohd Norhisham Hassan berkata, status sebagai tuan rumah tidak memberi tekanan tinggi terhadap persiapan pemain bagi mengharungi kehohanan itu.

Namun katanya, dia lebih tertumpu kepada persiapan dari segi teknikal termasuk keadaan padang, persediaan staf teknikal dan sukarelawan yang memainkan peranan penting bagi melancarkan perjalanan acara tersebut.

"Dari segi sasaran, InsyaALLAH, kami percaya peringkat separuh akhir bagi setiap kategori adalah sasaran realistik kerana ini merupakan kali pertama kita akan bersaing dengan kelab luar termasuk dari luar negara.

Pelatih UniSZA Soccer Kids Academy gigih menjalani latihan menjelang aksi UniSZA IYC 2025.

"Soal kalah menang tak penting tetapi pendedahan dan pengalaman yang ditimba oleh setiap pelatih itu lebih memberi nilai yang bermakna untuk mereka terapkan dalam diri demi melangkah lebih jauh dalam dunia bola sepak," katanya sambil menambah kategori Bawah 8 tahun paling berpotensi bersinar.

Satu lagi akademi tempatan, Young Titans yang dikemudi jurulatih berpengalaman, Ahmad Rizal Abdul Rahim turut meletakkan sasaran realistik pada kejohanan bertaraf antarabangsa yang kali pertama disertai oleh kelabnya.

Ahmad Rizal sudah meletakkan sasaran realisitk untuk mara ke separuh akhir.

Ahmad Rizal berkata, akademinya sudah menyertai banyak kejohanan termasuk Piala Allianze di Pahang dengan pencapaian terbaik di tempat kedua.

"Malah kita juga kerap menyertai kejohanan di peringkat negeri dan kebangsaan. 

"Ini kali pertama kita sertai IYC dan kita berterima kasih kepada Pusat Sukan UniSZA atas penganjuran ini yang berjaya menarik minat dari kelab Singapura dan Indonesia.

"Memandangkan ini pengalaman pertama kita bertanding di peringkat antarabangsa, kita letak sasaran berada dalam senarai semifinalis untuk semua kategori," katanya.

Antara pencapaian Young Titans pada 2025.

Sementara itu, Norhisham juga percaya UniSZA IYC 2025 berpotensi menjadi acara tahunan, sekali gus menjana ekonomi pelancongan kepada Terengganu.

Ini kerana, kehadiran kelab dari seluruh Malaysia dan luar negara akan membawa limpahan ekonomi kepada komuniti setempat terutamanya kepada peniaga tempatan.

"Saya sangat berharap kejohanan ini boleh dijadikan sebagai acara tahunan dan dimasukkan dalam takwim untuk pelancongan negeri," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram