'Habis duit kami', 1 Sabah mengamuk, Liga Super belum mula lagi MFL dah tukar jadual


  • Podium
  • Ahad, 03 Ogos 2025

Pertukaran berkenaan jelas menaikkan kemarahan penyokong The Rhinos yang teruja mahu menyaksikan perlawanan pertama Sabah FC. — Facebook/SabahFC 

SAINGAN Liga Super belum bermula tapi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sudah menerima kritikan hebat daripada penyokong khusunya pengikut Sabah FC selepas badan penganjur berkenaan melakukan perubahan jadual.

Menerusi kenyataan dikeluarkan pada Ahad, MFL berkongsi bahawa mereka telah mengemaskini menukar tarikh perlawanan Liga Super 2025-2026 melibatkan perlawanan Sabah FC menentang Melaka FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah. 

Pada asalnya, perlawanan pertama The Rhinos itu berlangsung pada 10 Ogos 2025 tetapi dipindahkan ke 29 Ogos 2025 berikutan venue akan digunakan untuk Kejohanan Olahraga Terbuka Masters Sabah. 

BACA LAGI: Lupakan EPL, Kogi kongsi jadual Liga Korea, sepatutnya wajar jadi contoh MFL

BACA LAGI: Jadual tidak konsisten punca utama penyokong makin malas turun stadium, MFL dinasihat perlu lebih tegas

Pertukaran berkenaan jelas menaikkan kemarahan penyokong The Rhinos yang rata-ratanya sudah melakukan persediaan dengan membeli tiket penerbangan bagi memberi sokongan kepada pasukan kesayangan. 

"Liga belum mula lagi sudah buat hal, tak kasihan dengan penyokong jauh seperti dari Sandakan dan Tawau yang sudah membeli tiket flight," kata penyokong Sabah FC, Nasaruddin Salleh. 

"Apa salahnya kalau main di Melaka dulu, kenapa perlu tunda," pendapat dikeluarkan oleh pengikut bola sepak The Rhinos, Muhammad Ali.

"Habis saja duit kami, burn tiket penerbangan kami dari Sandakan ke Kota Kinabalu sebab mahu tengok perlawanan pertama Sabah FC," komen penyokong Sabah FC, Capitano. 

Perubahan jadual yang dianggap tidak mengambil kira kerugian penyokong menyebabkan penyokong itu sekali lagi mempersoalkan kredibiliti MFL selaku pengelola bola sepak domestik untuk menguruskan liga. 

Ini bukan kali pertama MFL membuat isu berkenaan berikutan musim lepas juga menyaksikan badan penganjur terbabit meminda jadual berkali-kali hingga menaikkan kemarahan penyokong tanah air. 

Jika dilihat terperinci, perubahan jadual secara tiba-tiba juga sebenarnya menyukarkan penyokong untuk merancang kehadiran ke stadium, sekali gus menjejaskan sokongan terhadap liga tempatan.

Sebelum ini, pemerhati bola sepak tanah air iaitu Datuk Dr Pekan Ramli memberitahu bahawa bagi memastikan perjalanan liga lebih profesional, MFL disaran untuk lebih tegas dalam menetapkan jadual dengan sekurang-kurangnya 70-90 peratus daripada jadual awal dikekalkan tanpa perubahan. 

Hanya situasi luar biasa seperti faktor cuaca buruk atau isu keselamatan yang wajar dipertimbangkan untuk sebarang penangguhan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram