
TANGISAN, kecewa jelas terpapar pada wajah barisan pemain dan kejurulatihan Harimau Malaya Bawah 23 (B-23) tahun selepas gagal layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia B23 2026 yang berlangsung di Arab Saudi pada tahun depan.
Kegagalan berkenaan berpunca selepas pasukan kendalian Nafuzi Zain tewas 1-2 kepada Thailand pada aksi terakhir Kelayakan Kumpulan F di di Stadium Thammasat, Pathum Thani, Bangkok pada Selasa.
Keputusan berkenaan menyaksikan skuad muda negara gagal menempatkan diri di kejohanan tersebut untuk tiga edisi berturut-turut, satu rekod yang buruk selepas beberapa kali pertukaran jurulatih mengemudi Harimau Malaya B-23.
BACA LAGI: Bintang Selangor, TFC ketuai cabaran Harimau Muda di Piala Asia B23
BACA LAGI: ‘Tiru macam Vietnam’, fans mahu KPG jadi jurulatih B23 di Piala Asia
Untuk rekod, skuad B-23 berjaya layak dalam tiga edisi Piala Asia B-23 iaitu edisi 2018, 2022 dan 2024 dengan pencapaian terbaik adalah mara ke suku akhir edisi 2018 ketika di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.
Jika dilihat respons penyokong usai kegagalan itu, laungan #nafuziout mula bergema dengan rata-ratanya seperti meletakkan semua kesalahan di bahu jurulatih kelahiran Kelantan berkenaan.
Realitinya, majoriti pemain B-23 tidak mendapat minit permainan mencukupi bersama kelab masing-masing dalam saingan Liga Super, manakala sebahagian lain langsung tidak beraksi di pentas tertinggi liga domestik.
Ketiadaan aksi kompetitif secara konsisten bukan sahaja menjejaskan tahap kecergasan, malah turut menghalang perkembangan kualiti sebenar pemain muda negara.
Situasi itu akhirnya terserlah di peringkat antarabangsa apabila skuad muda gagal menyaingi intensiti serta pengalaman dimiliki lawan seperti Thailand yang rata-ratanya memiliki pemain lebih teruji di peringkat kelab.
Selain itu, semua sedia maklum bahawa isu kekurangan minit permainan buat pemain muda sudah lama diperkatakan, namun belum ada solusi konkrit daripada kelab mahupun pihak pengurusan liga.
Sebahagian besar kelab masih lebih selesa menggunakan pemain import dan pemain senior, sekali gus menyekat peluang bakat muda menimba pengalaman dan mempamerkan kualiti mereka di pentas domestik.
Pemain seperti Ubaidullah Shamsul, Haqimi Azim Rosli, Fergus Tierney, dan Aliff Izwan Yuslana antara yang sering diberikan peluang pasukan masing-masing untuk tampil dalam saingan Liga Super musim ini.
Kegagalan layak ke Piala Asia B-23 kali ini wajar dijadikan cermin besar kepada semua pihak dan jika tiada tindakan dilakukan, Harimau Malaya B-23 akan terus bergelut bukan sahaja di rantau Asia Tenggara, bahkan akan ketinggalan jauh di pentas Asia.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) apakah langkah drastik yang mampu diambil bagi memastikan bakat muda diberi ruang lebih luas di Liga Super, sekali gus mengelakkan kekecewaan berulang pada masa hadapan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram