'Bahaya dimaksudkan KPG mungkin tentang bakat baharu Harimau Malaya'


  • Podium
  • Rabu, 17 Jul 2024

Kenyataan Pan-gon berhubung 'danger' itu juga mengundang persoalan TMJ. — Twitter

TINDAKAN bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon yang enggan mendedahkan sebab utama beliau meletak jawatan dipersoalkan oleh pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim.

Menerusi laman media sosial X, Tunku Ismail meminta semua pihak sama ada penyokong, ahli politik dan media untuk meminta Pan-gon menjelaskan mengenai perkataan ‘bahaya’ itu dengan lebih jelas.

Kenyataan tersebut sekali gus menimbulkan persepsi dalam kalangan penyokong yang berasakan terdapatnya 'tangan ghaib' sehingga membuatkan jurulatih itu enggan berkata mengenainya secara terbuka.

BACA LAGI: Jurulatih 'fresh' dari 3 benua antara cadangan TMJ gantikan Kim Pan-gon

BACA LAGI: Selain Kim Pan-gon, Pau Marti Vicente pernah berguru dengan 3 jurulatih berdarah FC Barcelona

@majoritiofficial Setuju tak korang dengan Nizam Archibald? Jangan lupa saksikan Duduk Sembang malam ini di FB & TikTok Live Majoriti, 8.30 malam! #duduksembang #majoriti #bolasepak #penyokongbola #pemainbola #klcityfc ♬ original sound - Majoriti Official

Pemerhati bola sepak, Nizam Archibald beranggapan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pan-gon itu pastinya mahu diketahui ramai tapi tidak menolak jika ia melibatkan beberapa perkara semasa yang sedang membelenggu bola sepak negara.

Nizam berpendapat mungkin maksud 'bahaya' itu boleh jadi perbincangan tentang pendedahan bakat baharu untuk Harimau Malaya di masa akan datang.

"Saya rasa kita ada bakat muda, cuma mereka ini tidak mendapat peluang, kita seronok tengok Lamine Yamal menang Euro 2024 di usia muda.

"Tapi apa kita sendiri buat untuk bagi mereka pentas bermain di peringkat senior? Kelab-kelab kena mula percayakan pemain muda, kerana usia hanyalah angka.

"Saya kurang pasti bahaya yang dimaksudkan oleh Pan-gon dalam sidang media dan saya yakin ramai penyokong Malaysia pun berminat nak tahu.

"Kerana jawapannya hanya ada Pan-gon," katanya kepada Majoriti.

Selain itu, Nizam juga tidak menafikan mungkin 'bahaya' yang dimaksudkan oleh Pan-gon ialah kebangkitan negara-negara serantau seperti Indonesia dan Kemboja.

"Pujian perlu diberikan kepada Indonesia dan Kemboja yang nampak serius untuk membangunkan bola sepak mereka.

"Ini bukan bahaya, tapi satu 'wake up call' sebenarnya. Pan-gon dah membantu naikkan imej skuad kebangsaan, jadi tugas FAM, MFL, kelab-kelab dan penyokong meneruskan tugas ini.

"Kita masih belum ketinggalan, masih ada masa nak kejar balik, jadi kena mula sekarang," jelasnya.

Diminta untuk mengulas kesan ketiadaan Pan-gon, Nizam percaya tidak akan berlaku perubahan besar memandangkan barisan kejurulatihan Harimau Malaya masih sebahagian daripada legasi jurulatih Korea Selatan itu.

"Buat masa ini, masih ada lagi barisan kejurulatihan yang bersama Pan-gon, jadi impak mungkin tidak terlalu besar.

"Cuma FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) perlu membuat perancangan secepat mungkin sama ada percayakan Pau Marti atau cari jurulatih lain.

"Bukan tugas mudah kerana Pan-gon telah meletakkan 'benchmark' yang cukup tinggi.

"Saya yakin Pau Marti ada kredibiliti tersendiri. Dia pernah menjadi pelatih skuad muda Barcelona dan dengan adanya Pau Marti bersama skuad senior.

"Nampaknya kita ada perasa Sepanyol di skuad Malaysia, Javier Ribera, Juan Torres Garrido dan Pau Marti. Mungkin Malaysia boleh mendapat aura Juara Eropah 2024," ujarnya.

Namun begitu, Pan-gon tampil meleraikan kekeliruan mengenai istilah 'bahaya' yang digunakannya ketika enggan mendedahkan sebab utama beliau meletakkan jawatan.

Menurutnya, bahaya itu bukan mengenai kebimbangan tentang keselamatannya di negara ini sebaliknya berkaitan strategi dalaman pasukan yang disifatkan 'bahaya' sekiranya diketahui oleh orang luar.

Malah, beliau menyifatkan tahap penguasaan bahasa Inggerisnya yang kurang baik menyebabkan timbul salah faham sehingga mengundang persepsi negatif.

Beliau menjelaskan perkara tersebut selepas perjumpaan dengan pemilik kelab JDT, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim di sebuah hotel di ibu negara pada Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram