[VIDEO] Dengan gaya bersahaja, tonggak Melaka Titans mudah perdaya regu Jepun


  • Podium
  • Jumaat, 05 Sep 2025

Melaka Titans mudah meraih kemenangan ke atas Japan Sepak Takraw dengan keputusan 2-0. — Facebook/STL

AKSI cemerlang apit kiri Melaka Titans, Zaim Razali mencuri perhatian apabila berjaya memperdayakan tiga pemain wakil pasukan dari Jepun dalam perlawanan STL Champions Cup yang berlangsung di Stadium Karisma, Negeri Sembilan pada Jumaat.

Perkara tersebut dikongsikan menerusi laman rasmi Facebook, Sepak Takraw League yang memaparkan rakaman video berdurasi 37 saat memfokuskan gerakan licik daripada apit kiri Melaka Titans itu.

Dalam aksi tersebut, Zaim tenang menerima servis daripada pemain Jepun dan melakukan satu gerakan bijak.

BACA LAGI: Rebut tiket ke Piala Asia, 3 bintang berpotensi debut perlu manfaat aksi lawan Singapura

BACA LAGI: [VIDEO] Luka lama masih berdarah, Singapura tunjuk Harimau Malaya jalan keluar kali terakhir berentap di Bukit Jalil

Dalam video tersebut, bola yang pada awalnya kelihatan bakal dihantar secara biasa, tiba-tiba dihantar terus ke bahagian belakang gelanggang lawan yang tidak dikawal.

Tindakan spontan dan pantas itu jelas mengejutkan trio pasukan Japan Sepak Takraw, yang ketika itu sedang bersedia untuk melakukan blocking di hadapan jaring.

Hantaran bola rotan Zaim melepasi benteng lawan dan jatuh tepat di kawasan kosong, menghadiahkan mata berharga buat Melaka Titans.

Tindakan bijak itu bukan sahaja menghadiahkan mata kepada Melaka Titans, malah membantu pasukan meraih kemenangan mudah 2-0 ke atas wakil Jepun dengan keputusan 15-13, 15-9.

Aksi mencuit hati itu bukan sahaja membuktikan kemahiran taktikal Zaim, malah menunjukkan tahap keyakinan dan ketenangan tinggi dalam situasi permainan berintensiti tinggi.

STL Champions Cup bagi musim ini menyaksikan penyertaan kelab-kelab dari luar negara yang dijemput antaranya Ratchaburi Takraw Club (Thailand), Japan Sepak Takraw, Korea KTSA, India Fighters serta Singapore MGPC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram