
IMPIAN penyokong sepak takraw tanah air untuk menyaksikan pertembungan legenda antara Malaysia dan Thailand akhirnya menjadi kenyataan apabila Liga Sepak Takraw (STL) mengadakan satu perlawanan khas yang mempertemukan dua nama besar sukan tersebut.
Siapa sangka, dua perejam paling berbisa dalam sejarah sepak takraw, Azlan Mubin dari Malaysia dan ‘dewa takraw’ Thailand, Pornchai Kaokaew kembali ke gelanggang dalam satu aksi persahabatan yang cukup bermakna.
Menerusi satu hantaran video yang dikongsikan oleh Sepak Takraw League, kedua-dua bintang itu dilihat beraksi dalam suasana santai tetapi tetap menampilkan aksi-aksi memukau yang mengimbau kenangan lalu.
BACA LAGI: Cklamovski ada 3 pengganti Faisal Halim, nama-nama 'otai' kembali jadi sebutan
Pasukan Azlan dibarisi oleh dua jurulatih negara, iaitu Ahmad Jais Baharun sebagai tekong dan Zulkarnain Arif sebagai feeder.
Walaupun perlawanan berlangsung dalam suasana penuh gelak ketawa dan mesra, kehebatan kedua-dua legenda itu masih jelas terserlah.
Pornchai, yang baru sahaja mengumumkan persaraannya secara rasmi sebagai atlet skuad kebangsaan Thailand pada usia 44 tahun baru-baru ini masih mampu melakukan libasan tajam yang sukar dibaca oleh pihak lawan.
Azlan pula tidak ketinggalan menunjukkan aksi bertenaga dengan skil khas seorang perejam walaupun ada beberapa libasan yang tersasar.
Apa yang lebih menarik perhatian peminat ialah gaya keraian (celebration) kedua-dua pemain tersebut yang sama seperti yang ditunjukkan dalam perlawanan akhir Sukan Asia hampir dua dekad lalu, satu momen yang benar-benar mengundang nostalgia.
Perlawanan persahabatan itu turut menjadi medan imbas kembali detik bersejarah pada Sukan Asia Doha 2006, yang mana Malaysia menentang Thailand dalam acara berpasukan (Team Event).
Ketika itu, Azlan dan Pornchai masing-masing mewakili negara dalam usaha memburu pingat emas.
Namun, Malaysia tewas 0-2, sebahagian besarnya disebabkan kehebatan tekong Thailand, Suebsak Phunsueb.
“Kalau ikutkan, Pornchai ini dah biasa berdepan pemain Malaysia, tapi final Sukan Asia 2006 memang epik. Orang ingat game tu sampai bila-bila. Memang sengit, cuma masa tu kita kalah sebab tekong saja, Suebsak memang tiada ubat,” kata Alias Saila.
“Perlawanan ini betul-betul kembalikan memori Sukan Asia 2006, Malaysia lawan Thailand, Azlan lawan Pornchai,” ujar Man Pulo.
“Azlan, Pornchai, Zulkarnain Abu masih antara yang terbaik. Final Sukan Asia 2006 di Doha memang tak dapat dilupakan,” kata Mazlan Lan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram