'Sampaikan penaja rasmi kena beralah', lebih baik hanya 8 pasukan terbaik sertai STL Champions Cup


  • Podium
  • Isnin, 08 Sep 2025

Champions Cup 2025 terpalit dengan isu tersendiri selepas Astaf mendapati terdapat pelanggar syarat dibuat pihak penganjur.

SAINGAN Champions Cup 2025 sudah menutup tirainya pada Ahad apabila Negeri Sembilan (NS) Antlers menamatkan saingan sebagai juara, sekali gus menyaksikan mereka menjuarai kejohanan terbabit untuk kali ketiga berturut-turut.

Pertandingan yang mengumpulkan 10 pasukan, termasuk lima pencabar dari luar negara itu menerima sambutan cukup baik apabila hampir ratusan penonton hadir ke Stadium Karisma, Negeri Sembilan bagi setiap perlawanan.

Ini membuktikan peminat sukan sepak takraw terus teruja untuk mengikuti kejohanan berkenaan yang dianjurkan selepas berakhirnya Liga Sepak Takraw (STL) hujung Ogos lalu.

BACA LAGI: STL Champions Cup: Noraizat jadi penyelamat Perak Bison elak dimalukan kelab Singapura

BACA LAGI:Aksi lebih sengit menanti STL Champions Cup, 5 pasukan luar negara tunggu wakil tempatan

Bagaimanapun, kemeriahan Champions Cup sedikit terbantut pada hari pertama saingan selepas Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) mendesak agar kejohanan berkenaan ditangguhkan.

Tindakan itu disaksikan apabila pengadil daripada organisasi terbabit menghalang pemain dari Johor Tigris dan MPGC Singapura untuk memasuki gelanggang sehingga menimbulkan persoalan.

Menerusi kenyataan dikeluarkan, halangan itu dibuat selepas Astaf mendapati pihak penganjur menggunakan peralatan tidak rasmi, termasuk bola yang dipakai dengan alasan Champions Cup merupakan kejohanan peringkat antarabangsa.

Namun, selepas segala syarat dipatuhi, pertandingan terbabit dapat diteruskan dengan persoalan mengenai tindakan masuk campur tersebut terus menjadi buah mulut peminat sukan sepak takraw.

Malah, pemerhati sepak takraw tempatan, Meor Abdullah Syamim berpandangan perubahan format perlu diambil bagi menghalang isu sama berulang dengan penyertaan pasukan luar tidak perlu lagi diambil.

"Selepas ini, penganjur ambil sahajalah lapan pasukan terbaik kedudukan keseluruhan STL untuk Champions Cup. Tidak perlu lagi libatkan pasukan luar kalau nanti kena guna pengadil dan jenama yang taja persatuan itu sampai penaja rasmi STL kena ‘beralah’.

"STL, fokus saja pada pasukan tempatan dan hak penganjur sendiri, bukannya bagi ruang orang luar masuk campur urusan dalaman liga kita," katanya.

Jelas Meor, tindakan menutup pintu terhadap pasukan luar bukanlah merendahkan kualiti mereka mahupun mahu menjejaskan usaha panjang pihak STL untuk menjadikannya bertaraf antarabangsa.

Astaf bersedia menganjurkan kejohanan kelab peringkat Asia berikutan kemelut dihadapi semasa STL Champions Cup.

Bagaimanapun, rekod lalu membuktikan kelab jemputan akan bergelut, termasuk dari Thailand yang hanya menamatkan saingan di kedudukan keempat meskipun ramai mengetahui mutu pemain dari negara itu.

"Kalau sampai insiden seperti hari pertama terjadi, eloklah kita hargai pasukan dalam liga kita sendiri dan dianjurkan sepenuhnya pihak sepatutnya," tulisnya lagi.

Isu berhubung masalah peralatan rasmi itu kemudiannya mendesak Astaf agar mengambil solusi dalam memperkenalkan kejohanan sepak takraw di pentas antarabangsa.

Dalam satu kenyataan terbaru, organisasi terbabit bercadang menganjurkan Liga Sepak Takraw Kelab Asian (ACSL) yang akan menggunakan format timbal balik.

Tetapi, perbincangan masih diadakan di peringkat dasar dengan tiada sebarang keputusan berhubung tarikh penganjuran kejohanan peringkat Asia itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram