
TIDAK sampai dua bulan selepas menguji kekuatan Harimau Malaya dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1, skuad kebangsaan Cape Verde kini selangkah untuk melakar sejarah layak ke Piala Dunia buat kali pertama.
Pasukan kerdil dari benua Afrika itu kini menghuni tangga teratas Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Afrika dengan 19 mata, empat mata mengatasi pasukan pilihan, Cameroon.
Cape Verde kini hanya memerlukan tiga mata daripada dua baki perlawanan menentang Libya (tempat lawan) dan Eswatini (laman sendiri) pada Oktober nanti untuk memastikan kemaraan ke pusingan akhir Piala Dunia.
Jaringan Paulo Josue membantu Harimau Malaya mencatat keputusan seri menentang Cape Verde. — Malaysia NT
Situasi itu pastinya mengejutkan ramai, apatah lagi kumpulan itu pada awalnya diramal dimenangi oleh Cameroon, yang mempunyai rekod lapan penampilan di pentas Piala Dunia.
Namun, tonggak serangan berusia 24 tahun, Dailon Livramento muncul wira buat The Blue Sharks selepas meledak gol kemenangan ke atas Cameroon pada minit ke-54.
Kejayaan menundukkan Cameroon bukan sahaja membuka jalan ke Piala Dunia, malah membuktikan kebangkitan luar biasa Cape Verde selepas menamatkan kempen kelayakan Piala Negara-Negara Afrika 2025 di tangga tercorot kumpulan dengan hanya satu kemenangan daripada enam perlawanan.
Menariknya, peminat bola sepak tempatan pasti masih ingat bahawa Cape Verde pernah menguji kekuatan Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan Tier 1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei lalu.
Dalam pertemuan itu, skuad kendalian Peter Cklamovski berjaya mengikat pasukan yang kini berada di ranking ke-72 dunia itu dengan keputusan 1-1, satu pencapaian yang kini dilihat lebih bermakna apabila Cape Verde menghampiri pentas terbesar bola sepak dunia.
Meskipun sekadar seri, keputusan itu menunjukkan kemampuan Harimau Malaya untuk bersaing dengan pasukan yang kini berpotensi besar mencipta kejutan di Piala Dunia 2026.
Kini, dengan Cape Verde hanya selangkah lagi ke pentas berprestij itu, keputusan di Stadium Cheras itu wajar diberi perhatian sebagai mercu tanda kemajuan skuad kebangsaan dalam menyaingi pasukan bertaraf dunia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram