‘Tiru macam Vietnam’, fans mahu KPG jadi jurulatih B23 di Piala Asia


  • Podium
  • Khamis, 11 Mei 2023

Jurulatih Kim-Pan-gon disebut sebagai pengganti sesuai untuk mengendalikan skuad B23 negara. — FAM

PENYINGKIRAN skuad muda negara pada temasya Sukan SEA Kemboja pada tahun ini sememangnya satu perkara yang menyedihkan bukan sahaja buat penyokong, malah barisan pemain juga pastinya turut kecewa dengan persembahan dipamerkan.

Gagal menyaingi kehebatan pasukan Thailand dan Vietnam, perjalanan skuad negara terhenti di peringkat kumpulan yang menyaksikan anak-anak buah E. Elavarasan kecundang dalam merampas ibu segala pingat dalam temasya dwi-tahunan itu.

Menerima kritikan ramai susulan persembahan kurang memberansangkan di atas padang, tumpuan peminat terarah kepada barisan kejurulatihan yang diketuai oleh E. Elavarasan apabila gagal menyerlahkan taktikal serta corak permainan yang menarik pada edisi kali ini.

gakl

Cabaran skuad bola sepak negara di Kejohanan Sukan SEA tahun ini terhenti di peringkat kumpulan. — FAM

Rata-ratanya menggesa agar posisi pengendali itu digantikan dengan individu selayaknya yang mampu membawa kejayaan serta penambahbaikan pada prestasi semasa skuad muda negara pada masa akan datang.

Bakal dihimpunkan sekali lagi pada Kelayakan Piala Asia B23 pada September nanti, penyokong enggan sejarah hitam di bumi Kemboja berulang dengan saingan lebih sengit pastinya akan dihadapi pasukan kebangsaan dalam kejohanan di peringkat Asia itu.

Justeru, sesetengah pihak berpendapat bahawa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mengamalkan sistem kejurulatihan sama seperti dipraktikkan pengurusan Vietnam apabila menurunkan jurulatih utama mereka dalam dua pasukan berbeza.

Vietnam yang dikendalikan Park Hang-seo sememangnya meninggalkan kesan positif pada skuad Naga Emas itu apabila berjaya membawa pelbagai kejuaraan sejak diberi peranan sebagai ketua jurulatih pada 2018.

park

Park Hang-seo merupakan individu yang telah banyak menyumbang kejayaan pada pasukan bola sepak Vietnam. — Agensi

Bermula di pasukan muda B22 tahun Vietnam, Hang-seo kemudiannya dinaikkan pangkat ke skuad utama pada 2022 sebelum dikhabarkan akan berhijrah ke pasukan lain selepas tidak melanjutkan kontraknya bersama Vietnam pada tahun ini.

Namun, percaturan Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF) yang menurunkan jurulatih kelahiran Korea Selatan itu dalam skuad pemain muda dan senior dalam masa lima tahun ini dilihat membuahkan hasil apabila pasukan itu mempunyai ramai pilihan pemain yang berpotensi untuk diketengahkan meskipun di usia muda.

"Suruh je Kim Pan-gon jadi jurulatih skuad B23 negara, buat macam Vietnam dulu, nanti dah masuk pasukan utama dah boleh faham dan dengan taktikal Pan-gon," kata Joe Zangg.

"Sepatutnya Malaysia kena buat macam Vietnam, tengok Park Hang-seo tu dia pegang skuad muda dan senior sekali gus, sekarang bila dalam kejohanan mereka ada ramai pilihan pemain yang sudah terbiasa dengan taktikal sama," ujar Zuhair Iman.

"Tak payah nak lantik jurulatih lain dah, naikkan gaji Pan-gon minta dia kendalikan dua pasukan muda dan senior negara, Harimau Malaya juga yang untung nanti bila ada ramai pemain yang berpengalaman dan tak kekok di bawah Pan-gon," jelas Wan Ahmad Farhan.

Untuk rekod, bekas pengendali Vietnam itu telah membawa beberapa kejuaraan sepanjang lima tahun bersama skuad tersebut antaranya Sukan SEA 2021, AFF Suzuki CUP 2017 dan AFF Mitsubishi Electric Cup 2022.

Tidak dinafikan, Pan-gon juga turut membawa kejayaan buat pasukan negara dengan kenaikan mendadak dipamerkan menerusi ranking Harimau Malaya yang ketika ini berada di tangga ke 138 dunia di bawah Turkmenistan berdasarkan kedudukan semasa FIFA.

Justeru, cadangan untuk meletakkan Pan-gon dalam skuad muda menjelang persiapan ke Kelayakan Piala Asia B23 negara nanti seharusnya dipertimbangkan oleh FAM dengan perkara itu diyakini mampu mendatangkan hasil yang lebnih baik buat masa depan pasukan bola sepak kebangsaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram