
BRUNO Fernandes nyata berang dengan tindakan pengadil, Chris Kavanagh sebelum dia gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika Manchester United seri 1-1 menentang Fulham dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Ahad.
Man United mendapat sepakan penalti pada babak pertama selepas semakan VAR mendapati pertahanan Fulham, Calvin Bassey mengasari Mason Mount ketika situasi bola mati.
Bagaimanapun, ketika Fernandes bersedia mengambil sepakan dengan meletakkan bola di titik penalti, Kavanagh tiba-tiba melintas di hadapannya dan melanggar tubuh kapten The Red Devil itu.
BACA LAGI: Poster Alexander Isak kemaruk nak ke Liverpool rupanya 'troll', sekadar janaan AI
Aksi itu nyata menjejaskan fokus Fernandes yang kemudiannya menyepak bola tinggi melepasi palang, sekali gus menghampakan peluang Manchester United menggandakan kedudukan selepas jaringan pembukaan pertahanan muda, Leny Yoro.
Manchester United fans, cover your eyes... pic.twitter.com/zb8HDCObIh
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) August 25, 2025
“Saya kecewa kerana pengadil tidak meminta maaf… itu yang membuatkan saya terganggu ketika itu. Tetapi ia bukan alasan.
"Sepakan saya memang sangat buruk, kaki terlalu menyusup bawah bola hingga ia melayang,” katanya kepada Sky Sports.
Fernandes menegaskan, rutin pengambil sepakan penalti penting untuk menjaga keyakinan dan tumpuan, namun insiden itu sedikit sebanyak meninggalkan kesan.
Untuk rekod, Man United masih buntu mencari kemenangan selepas dua perlawanan awal musim baharu.
Anak buah Ruben Amorim menunjukkan aksi positif ketika tewas tipis 0-1 kepada Arsenal minggu lalu, malah bermula garang menentang Fulham.
Namun, selepas mendahului sebaik babak kedua bermula, skuad The Cottagers lebih menguasai permainan di separuh masa kedua dan keputusan seri dianggap adil buat kedua-dua pasukan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram