
WALAUPUN sibuk dengan tugas rasmi dan aktiviti harian, Kate Middleton, tidak pernah melepaskan peluang hadir menyokong anak-anaknya pada setiap perlawanan sukan.
Puteri Wales itu amat dikenali sebagai penyokong setia, sekali gus menunjukkan komitmen beliau yang konsisten terhadap minat dan aktiviti anak-anaknya di padang.
Difahamkan, ketiga-tiga cahaya matanya hasil perkahwinan bersama Putera William iaitu Putera George, 12; Puteri Charlotte, 10 dan Putera Louis berusia tujuh tahun gemar melakukan aktiviti outdoor dan bersukan.
Puteri Wales ini juga aktif bersukan dan melakukan aktiviti outdoor bersama keluarga. — Agensi
Salah seorang ibu dalam rancangan televisyen, The Real Housewives of London, Panthea Parker mendedahkan, anaknya bermain sukan bersama salah seorang daripada tiga anak Middleton.
Walaupun belajar di sekolah berbeza, Panthea selalu melihat kehadiran Middleton ketika pasukan sekolah anak mereka bertemu dalam perlawanan.
“Saya selalu nampak beliau (Middleton) sekiranya pasukan sekolah anak saya bermain sukan dengan team sekolah anaknya.
“Mereka main ragbi dan bola sepak antara satu sama lain, jadi kami selalu berada baik di sekolah anak beliau mahupun sekolah anak saya," tambahnya.
Bayangkan ketika memberikan sokongan kepada anak yang bermain bola sepak, pada masa sama terlihat isteri kepada Putera William sedang berdiri di tepi padang turut bersorak.
Situasi tersebut pastinya memberikan pengalaman istimewa.
Katanya lagi, Middleton juga menunjukkan sikap mesra dan sentiasa menyokong, sama seperti kehadirannya dalam setiap acara awam.
“Saya selalu melihat beliau, namun dari jauh sahaja, bukan untuk berbual.
“Beliau sangat anggun dan peramah. Beliau tidak pernah terlepas perlawanan anak-anaknya, memang menakjubkan," kongsi Panthea.
Ini bukan kali pertama ibu-ibu sekolah lain memuji sikap Middleton terhadap sukan.
Seorang saksi pernah merakam video beliau pada Oktober lalu ketika menonton Putera Louis bermain bola sepak yang tampak bersedia memberi sokongan sepenuhnya.
Semangat kesukanan
Anak-anak Middleton juga semangat bersukan seperti ibunya.
Pada 2023, puteri kepada mendiang Ratu Elizabeth II, Puteri Anne mendedahkan bahawa adik-beradik diraja tersebut mewarisi sedikit sifat kompetitif ibu bapa mereka dalam podcast Mike Tindall, The Good, The Bad & The Rugby.
“Yang menarik ialah mereka semua mempunyai personaliti berbeza,” kata Middleton berusia 43 tahun itu sambil menambah ketiga-tiga anaknya sedang membesar dan mencuba pelbagai jenis sukan.
“Mereka masih muda, jadi menarik untuk lihat bagaimana minat ini berkembang,” jelas beliau lagi.
Middleton juga menghargai pengaruh ibu bapanya, Carole dan Michael Middleton yang sentiasa menggalakkan mereka aktif dan mencuba sukan berpasukan.
Kini, beliau meneruskan tradisi itu dengan anak-anaknya sendiri, menyokong mereka di setiap perlawanan.
Walaupun seorang puteri diraja, Middleton tetap melunaskan tanggungjawab seorang ibu prihatin, sentiasa menyokong dan berada di sisi anak-anak dalam acara sukan.
Sikapnya itu persis mendiang Puteri Diana yang sentiasa hadir pada perlawanan dan sukan sekolah kedua-dua anaknya, Putera William dan Putera Harry. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram