
EDISI 2025 Selangor Touch Fiesta mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpunkan sebanyak 104 pasukan melibatkan 2,000 peserta dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang, termasuk penyertaan dari luar negara pada 15 hingga 17 Ogos ini.
Kejohanan anjuran Persatuan Touch Selangor (TAS) itu bukan sahaja menjadi pentas pertandingan, malah dilihat sebagai inisiatif penting negara dalam usaha mencari dan membangunkan bakat baharu bagi diserap ke dalam pasukan kebangsaan.
Setiausaha TAS, Amir Afifuddin Amir Sharifudin, tidak menafikan bahawa penganjuran kejohanan berkenaan juga akan berfungsi sebagai platform peninjauan pemain untuk pembentukan skuad kebangsaan bagi mewakili Malaysia ke pentas antarabangsa.
BACA LAGI: [VIDEO] MCKK Premier 7’s: Juara bertahan tumpas, takhta kuasa ragbi dirampas
“Pasukan kebangsaan akan dibentuk daripada pendaftaran. Dan pasukan akan datang daripada sekolah-sekolah sekitar kita. Sudah tentu, penglibatan daripada peringkat kebangsaan juga ada. Ada program lain yang akan menyusul.
“Insya-ALLAH, kita akan sambut pemain yang berpotensi. Pertama sekali, kita akan hantar mereka ke AFTA (All For Touch Academy) kerana kita mahu asah bakat. Untuk tapis dan gilap bakat mereka dan sebagainya. Jadi secara ideal, hala tuju ini adalah untuk mewakili negara di peringkat tertinggi,” katanya.
Amir Afifuddin ditemui ketika Majlis Pelancaran Selangor Fiesta 2025 di Hevea Arena, Sungai Buloh, Selangor bersama Timbalan AFTA, Firdaus Zakaria pada Rabu.
Menurut Amir Afifuddin, inspirasi untuk memperkenalkan Selangor Touch Fiesta timbul selepas melihat rekod membanggakan Malaysia yang pernah muncul juara dunia sebanyak tiga kali dalam sukan berkenaan.
Menurut beliau, kejayaan tersebut bukan sahaja memperlihatkan kekuatan pasukan negara di peringkat dunia, malah menjadi peringatan penting mengenai keperluan melahirkan pelapis berbakat bagi memastikan kesinambungan legasi.
“Malaysia telah menjuarai Piala Dunia pada 2015 di New South Wales, Australia; 2016 ketika menjadi tuan rumah; dan sekali lagi pada 2024 di Nottingham, England.
“Malaysia kini pasukan keenam terbaik dunia dalam kategori lelaki 40 tahun ke atas, dan antara penyumbang utamanya ialah pemain veteran kita, Firdaus yang masih aktif.
“Sebagai sebuah negara, kita perlu fikir bagaimana untuk pastikan bakat sentiasa wujud. Kita perlukan tadbir urus yang baik serta platform yang betul untuk pemain ini menyerlahkan kebolehan mereka,” jelasnya.
Amir Afifuddin berkata, ramai pemain muda dalam sukan touch belum mendapat peluang pendedahan, terutamanya di peringkat sekolah dan universiti dam disebabkan itu, Selangor Touch Fiesta diperkenalkan sebagai inisiatif berskala nasional untuk mengisi kekosongan tersebut.
Menariknya, Selangor Touch Fiesta bukan sahaja menerima sambutan menggalakkan di peringkat tempatan, malah turut mendapat perhatian negara-negara jiran seperti Singapura dan Brunei.
Menurut beliau, apabila STF diperkenalkan dan diumumkan secara rasmi, kedua-dua negara itu pantas merebut peluang menyertai pertandingan dengan mendaftarkan pasukan masing-masing.
“Ini bukan kali pertama pasukan dari Singapura dan Brunei datang ke venue ini. Mereka pernah menyertai perlawanan persahabatan dan sering bertanya bila kejohanan seterusnya akan dianjurkan.
“Brunei diberikan tiga slot untuk setiap kategori iaitu lelaki, wanita dan lelaki veteran. Singapura juga mengambil bahagian dalam ketiga-tiga kategori.
“Malah, pasukan kelab seperti Cobras mengetahui mengenai kejohanan ini melalui media sosial. Kami masih menerima permintaan tetapi sayangnya slot telah pun penuh,” katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram