Piala Agong 2024: Selangor tetap hormati lawan, layak peringkat kalah mati bersama pemain SUKMA


  • Podium
  • Selasa, 01 Okt 2024

Antara aksi pasukan Selangor dan PDRM dalam kejohanan Piala Agong pada Sabtu lalu.

PASUKAN ragbi Selangor kekal menghormati pihak lawan meskipun sudah layak ke peringkat kalah mati bagi kejohanan Piala Agong 2024.

Selangor membariskan seramai 40 pemain telah memenangi dua perlawanan menentang ATM dan Perak sebelum tewas di tangan juara edisi lalu, PDRM pada 28 September lalu.

Bagi edisi kali ini, Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan Liga Ragbi KRS 2024 yang melibatkan 16 pasukan keseluruhannya bermula April hingga Jun lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Proven' bawa Selangor ke Asia, kredibiliti Nafuziball buat nama Cheng Hoe, Nafuzi jadi pilihan fans Terengganu FC

BACA LAGI: [VIDEO] Kini No. 2 Chinese Super League, JDT perlu awasi bekas anak didik Jurgen Klopp

Daripada liga anjuran KRS itu, pihak pengurusan ragbi Selangor telah membentuk pasukan Piala Agong dalam kalangan pemain yang mewakili kelab-kelab dalam kejuaraan itu.

Pengurus ragbi Selangor, Shahizam Tukiran, 48, berkata, inisiatif KRS adalah membantu pihak pengurusan untuk membentuk pasukan dengan tambahan daripada pemain tujuh sebelah kebangsaan.

"Alhamdulillah daripada situ pemilihan pemain dipilih dalam kalangan pemain yang mewakili pasukan-pasukan bertanding dalam Liga KRS 2024.

"Pemain-pemain juga kami (Selangor) pilih daripada skuad tujuh sebelah (7s) kebangsaan dan pemain-pemain pelapis daripada SUKMA yang kita serapkan untuk skuad Piala Agong 2024.

"Secara dasarnya KRS memandang serius persiapan kewujudan kita dalam kejohanan Piala Agong dan harapan kami agar ia dapat memberi impak dan daya saing kepada pasukan-pasukan lain yang bertanding," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, selepas tiga perlawanan, Selangor kini berada dalam landasan yang terbaik untuk mara lebih jauh dalam kejohanan kali ini.

"Selepas mengharungi tiga perlawanan peringkat kumpulan untuk tahun ini, dengan keputusan dua kemenangan satu kekalahan, kami percaya bahawa Selangor berada di landasan yang tepat.

"Seperti yang telah dirancangkan, Alhamdulillah kita layak ke peringkat kalah mati yang diadakan pada 12 Oktober nanti.

"Pemain-pemain terpilih telah menunjukkan komitmen, dedikasi yang tinggi dan berusaha untuk menonjolkan diri mereka sendiri terutamanya mutu permainan.

"Mereka cuba mengikuti setiap taktikal ataupun teknik yang cuba disampaikan oleh barisan kejurulatihan," jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai dua kemenangan Selangor ke atas Perak dan ATM, Shahizam berkata, komitmen tinggi pemain antara rahsia kemenangan pasukannya itu.

"Untuk perlawanan menentang ATM dan Perak, pada kempen Piala Agung tahun ini Selangor memandang tinggi dan menghormati setiap pasukan bertanding.

"Pemain-pemain yang dipilih telah menunjukkan komitmen dan mengikuti setiap perancangan diberikan oleh barisan kejurulatihan pasukan walaupun dua pasukan itu memberikan tentangan yang sengit.

"Barisan kejurulatihan juga dalam proses mengenal pasti kekuatan ataupun kelemahan yang ada pada setiap pemain agar mereka dapat adaptasi untuk mewujudkan satu pasukan yang kuat dan kompetitif," ujarnya.

Mengulas tentang kekalahan 7-30 menentang PDRM, Shahizam mengakui PDRM rata-rata dibarisi dengan pemain berpengalaman yang telah menjuarai Piala Agong edisi tahun lalu.

"Menentang PDRM, seperti sedia maklum, juara edisi 2023, kami sebagai pasukan bukan pilihan, memandang tinggi dan menghormati PDRM.

"PDRM rata-ratanya diwakili oleh pemain berpengalaman...kita akui bahawa corak taktikal yang digunakan oleh PDRM menjejaskan perjalanan Selangor pada perlawanan itu.

"Kami di pihak kejurulatihan Selangor dapat mengenal pasti kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki supaya kita terus kompetitif terutamanya perlawanan kalah mati.

"Alhamdulillah kekalahan pada minggu lepas diterima dengan positif dan insya-ALLAH dalam sesi latihan yang akan dijalankan nanti pasukan akan memperbaiki dan mempertingkatkan kesefahaman untuk perlawanan menentang Pahang minggu ini," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram