[VIDEO] Kelar leher rakan serumah sebelum larikan kereta mangsa di Seremban, lelaki direman 5 hari


  • Kes
  • Ahad, 07 Sep 2025

Permohonan reman terhadap suspek dibenarkan selama lima hari sehingga 11 September oleh Mahkamah Majistret Seremban. — Facebook

POLIS sedang menjalankan siasatan berhubung satu kes mencederakan menggunakan senjata tajam melibatkan dua rakan serumah dalam kejadian yang berlaku di sebuah rumah di Taman Rasah Jaya, Seremban, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pada 5 September lalu kira-kira pukul 6.24 petang, seorang lelaki tempatan telah tampil membuat laporan polis selepas menemui mangsa, seorang lelaki berusia 31 tahun dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kelar pada bahagian leher.

“Mangsa segera dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

BACA LAGI: [VIDEO] Mangsa mesin padi terjunam ke sungai ditemui tidak bernyawa di Kampung Sanglang

BACA LAGI: [VIDEO] Lima penuntut IKM maut tersepit, nahas babit 2 kenderaan dekat Pusat Latihan RELA Tuaran

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek yang juga rakan serumahnya.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban telah berjaya menahan suspek lelaki berusia 23 tahun di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 7 September 2025.

“Suspek merupakan individu utama yang disyaki terlibat dalam insiden tersebut,” katanya.

Mohamad Hatta berkata, permohonan reman terhadap suspek telah dibuat di Mahkamah Majistret Seremban hari ini dan mahkamah membenarkan reman selama lima hari sehingga 11 September bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian diminta tampil memberikan keterangan di mana-mana balai polis berhampiran.

Beliau juga menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Terdahulu, kejadian berkenaan mendapat perhatian di media sosial selepas beberapa individu dipercayai ahli keluarga mangsa membuat perkongsian berkaitan insiden berkenaan.

Seorang pengguna Facebook, Haziqah Izwani yang mendakwa sebagai ahli keluarga mangsa, memuat naik hantaran menyatakan mangsa dikelar ketika sedang tidur dan kini berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTJ.

“Semoga cepatlah dapat tangkap si pelaku. Sudah kelar leher anak orang, lepas tu bawa lari kereta pula. Suspek sekarang lari ke arah Utara dan masih diburu polis. Mohon viralkan,” katanya dalam hantaran tersebut.

Abang mangsa, Hafizzuddin Shamsul turut meminta bantuan orang ramai untuk mengesan suspek dan kereta milik adiknya yang dilarikan.

“Seorang lelaki sedang dicari pihak polis bagi membantu siasatan berhubung satu kes cubaan membunuh dan membawa lari kereta adik saya, Alza lama berwarna ungu, nombor pendaftaran W3007P.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat diminta segera menghubungi balai polis berhampiran atau saya sendiri di talian 013-8527629. Mohon untuk kongsi dan viralkan,” katanya.

Mangsa masih dirawat di HTJ dan pemantauan lanjut sedang dijalankan oleh pihak hospital. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram