[VIDEO] Mangsa mesin padi terjunam ke sungai ditemui tidak bernyawa di Kampung Sanglang


  • Kes
  • Ahad, 07 Sep 2025

Mangsa berjaya dijumpai oleh pasukan bomba pada pukul 10 pagi Ahad.

SEORANG pelajar yang sebelum ini dilaporkan lemas selepas sebuah mesin padi terjatuh ke dalam sungai di Kampung Sanglang, dekat Jitra, Kedah akhirnya berjaya ditemui pada pagi Ahad.

Menurut perkongsian daripada laman Facebook, Kedah Kini, mangsa ditemui oleh pasukan bomba kira-kira pukul 10 pagi selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan sejak malam Sabtu.

"Seorang pelajar yang dilaporkan lemas selepas kejadian sebuah mesin padi terjunam ke dalam sungai di Kampung Sanglang semalam akhirnya telah ditemui.

BACA LAGI: [VIDEO] Lima penuntut IKM maut tersepit, nahas babit 2 kenderaan dekat Pusat Latihan RELA Tuaran

BACA LAGI: [VIDEO] Nahas babit 3 sefamili di Pelabuhan Klang, pemandu treler gilis wanita gagal tahan sebak peluk anak mangsa

"Mangsa berjaya dijumpai oleh pasukan bomba pada pukul 10 pagi tadi selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan sejak semalam," katanya.

Terdahulu, dalam kejadian yang berlaku pada Sabtu, mangsa menaiki mesin padi bersama tiga orang rakannya sebelum kenderaan itu terjatuh ke dalam sungai.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, dua daripada rakan mangsa sempat menyelamatkan diri, manakala seorang lagi berjaya diselamatkan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.40 petang. Kami dimaklumkan sebuah mesin padi telah terjatuh ke dalam sungai dan empat orang mangsa terlibat. Salah seorang mangsa dipercayai lemas,” menurut kenyataan JBPM.

Pasukan bomba menjalankan kerja-kerja pencarian di kawasan permukaan sungai sejak petang semalam sehingga mangsa ditemui. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram