Konstabel polis cedera ditembak penjenayah di Simpang Pulai, mayat wanita ditemui dalam kereta


  • Kes
  • Ahad, 07 Sep 2025

Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kereta suspek yang ditinggalkan, pihak polis menemukan mayat seorang wanita di bahagian tempat duduk belakang. — Facebook

SEORANG anggota polis cedera selepas ditembak dan ditikam oleh seorang suspek ketika cuba melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kereta mencurigakan di Simpang Pulai, Ipoh pada pagi Ahad.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 pagi itu, sepasukan anggota Balai Polis Simpang Pulai sedang menjalankan rondaan cegah jenayah sebelum mengesan sebuah kereta mencurigakan di kawasan Taman Desa Pakatan, Ipoh.

Menurutnya, cubaan untuk menahan kenderaan tersebut bagaimanapun gagal apabila suspek bertindak melarikan diri, mencetuskan satu insiden kejar-mengejar sehingga ke kawasan kebun kelapa sawit berhampiran.

BACA LAGI: [VIDEO] Mangsa mesin padi terjunam ke sungai ditemui tidak bernyawa di Kampung Sanglang

BACA LAGI: [VIDEO] Lima penuntut IKM maut tersepit, nahas babit 2 kenderaan dekat Pusat Latihan RELA Tuaran

Dalam usaha menahan suspek, berlaku pergelutan antara suspek dan seorang anggota polis. 

"Suspek bertindak ganas dengan merampas pistol milik anggota tersebut, menembak mangsa di bahagian perut serta menikamnya sebelum melarikan diri bersama senjata api itu.

"Anggota polis berusia 26 tahun pangkat konstabel ini dilaporkan stabil dan sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

“Kita memandang serius serangan ke atas anggota pasukan keselamatan. Suspek telah bertindak di luar batasan dengan mencederakan anggota kami menggunakan senjata api milik mangsa.

"Ini merupakan jenayah berat yang tidak akan dibiarkan tanpa tindakan tegas,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Noor Hisham berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas kereta suspek yang ditinggalkan, pihak polis menemukan mayat seorang wanita di bahagian tempat duduk belakang.

Identiti wanita tersebut bagaimanapun masih belum dikenal pasti dan bedah siasat akan dijalankan di Unit Forensik HRPB untuk menentukan identiti serta punca kematian.

“Penemuan mayat di dalam kenderaan terbabit menambah elemen siasatan terhadap kes ini. Kami sedang menyiasat sama ada mangsa wanita mempunyai kaitan langsung dengan suspek atau merupakan mangsa kepada jenayah lain,” katanya lagi.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302/307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. 

"Polis sedang giat mengesan suspek yang melarikan diri. Usaha sedang dipertingkatkan bagi memastikan suspek dapat ditangkap dalam kadar segera," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Fadli Ahmad di talian 012-2500019 bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram