
KELAB bola sepak Fukushima United FC bakal mencipta sejarah dengan kerjasama kumpulan reka bentuk Jepun, VUILD yang diketuai Koki Akiyoshi, apabila merancang untuk membina stadium berkonsepkan kayu pertama di negara itu.
Stadium berkapasiti 5,000 tempat duduk itu menampilkan reka bentuk unik kerana dibina sepenuhnya daripada kayu yang boleh dikitar semula dan direka untuk dibongkar serta digunakan semula.
Inspirasi projek itu datang daripada amalan tradisi Shinto, Shikinen Sengu, iaitu proses membina semula kuil setiap beberapa tahun, yang diterjemahkan dalam bentuk seni bina sukan berkonsepkan kitaran.
BACA LAGI: [VIDEO] Seni bina masjid brutalis jadi lambang cahaya, spiritualiti di India
Dengan itu, stadium bukan sekadar tempat perlawanan bola sepak, tetapi simbol kebangkitan semula wilayah Fukushima selepas tragedi gempa bumi dan bencana nuklear pada 2011.
Reka bentuk mesra komuniti, alam sekitar
VUILD menekankan konsep skala manusia dengan tumpuan utama pada sebuah grandstand dominan setinggi dua tingkat, mencecah 16 meter.
Kayu lamina daripada hutan tempatan akan digunakan untuk membentuk rangka utama dengan komponen kejuruteraan yang boleh diubah semula.
Bangunan stadium dibahagikan kepada empat blok dengan pintu masuk berasingan.
Struktur bumbung segi tiga diinspirasikan daripada rumah tradisional Ouchi-juku.
Reka bentuk itu bukan sahaja bertujuan menjadi mercu tanda, tetapi juga lambang kepada kelestarian dan masa depan seni bina stadium di Jepun.
Menariknya, projek itu turut melibatkan masyarakat setempat dalam proses pembinaan.
Semua kayu yang digunakan dipotong dan dipasang dalam bentuk unit oleh komuniti tempatan.
Stadium berkapasiti 5,000 tempat duduk dengan reka bentuk mesra iklim.
Stadium itu juga berfungsi sebagai platform untuk program penghijauan semula, pendidikan pertukangan kayu serta perkongsian ilmu kepada generasi akan datang.
Salah satu tarikan utama ialah bumbung kayu berbentuk segi tiga yang diinspirasikan daripada reka bentuk rumah tradisional di Ouchi-juku.
Struktur itu dicapai melalui penggunaan bentuk paraboloid hiperbolik daripada keratan kayu, yang membolehkan bumbung berfungsi dalam dua arah.
Mercu tanda baharu Fukushima sebagai simbol kebangkitan pasca bencana.
Memandangkan Fukushima berada dalam iklim lembah, reka bentuk stadium turut mengutamakan strategi tenaga pasif.
Bentuk bumbung besar direka untuk melindungi daripada terik matahari musim panas dan angin kuat musim sejuk.
Fasad pula membenarkan aliran angin semula jadi ketika musim panas, selain mengekalkan penebat haba pada musim sejuk.
Gabungan seni bina moden dan tradisi Jepun dalam satu reka bentuk hijau.
Sistem pengurusan air juga diintegrasikan ke dalam struktur bumbung dengan mengumpul, menyimpan dan menggunakan semula salji musim sejuk untuk membantu penyejukan semasa musim panas.
Selain itu, stadium turut dilengkapi sistem tenaga boleh diperbaharui dan storan tenaga bagi memastikan kecekapan tenaga yang berterusan, sekali gus mencapai piawaian antarabangsa seperti Living Building Challenge.
Dengan gabungan tradisi, teknologi moden dan pendekatan kelestarian, stadium kayu pertama Jepun itu bukan sahaja menjadi simbol kebangkitan Fukushima, tetapi juga penanda aras baharu untuk seni bina stadium masa depan yang berakar pada komuniti serta mesra alam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram