Status pinjam jadi kekal, skuad Jang ada peluang ikat import 'supersub'


  • Podium
  • Jumaat, 05 Sep 2025

Skuad Jang memiliki lambakan pemain import berkualiti meskipun hanya dibawa masuk daripada kelab kecil. — Facebook/Negeri Sembilan FC

PENINGKATAN ditonjolkan Negeri Sembilan FC musim ini boleh dikatakan berpunca daripada perancangan lebih teliti daripada pihak pengurusan dan kejurulatihan sepanjang tempoh pramusim.

Langkah terbaik diambil sudah tentu berhubung pemain import yang masing-masing cukup sesuai dalam sistem Nidzam Jamil di samping memberi aksi cemerlang setiap kali diturunkan.

Ini termasuk penyerang sayap, Mio Tsuneyasu yang sudah meledak tiga gol daripada empat penampilan meskipun tidak diberikan peluang dari minit pertama perlawanan.

BACA LAGI: Sekejap saja sudah bersinar, trio NS-Kuching-TFC pantas curi hati penyokong

BACA LAGI: ‘Macam tak cukup vitamin’, legenda Selangor kritik import pilihan Gergasi Merah

Mio beraksi cemerlang sebagai pemain gantian lewat dalam semua perlawanan. — Facebook/Negeri Sembilan FC

Peluang diberikan minit-minit akhir amat dimanfaatkan import dari Jepun itu, terutamanya ketika aksi menentang Selangor FC apabila dua jaringan dicetak memastikan tiga mata milik skuad Jang.

Dalam perlawanan lain pula, dia tidak pernah berputus asa merebut bola daripada pihak lawan dengan persembahan sebegitu meletakkannya dalam senarai pemain disayangi peminat Negeri Sembilan FC.

Tetapi, timbul persoalan mengenai masa depannya bersama kelab Liga Super itu kerana dia hanya dipinjamkan dari kelab Jepun, Gainare Tottori yang beraksi dalam divisyen ketiga.

Sekiranya diberi peluang untuk pulang, Mio sudah tentu berbuat demikian memandangkan tahap kompetitif di negara Asia Timur itu jauh lebih tinggi berbanding Liga Super.

Mio masih terikat dengan kelab Jepun, Gainare Tottori yang kini beraksi dalam divisyen ketiga Jepun. Agensi

Bagaimanapun, Negeri Sembilan FC boleh mengikat pemain berusia 23 tahun itu secara kekal seperti mana dinyatakan peminat pasukan itu, State of Nine FC.

"Peluang untuk Jang mendapatkan Mio pada awal tahun depan amat baik kerana kontraknya akan tamat pada awal musim depan bersama kelab Jepun. Negeri Sembilan FC cepat buat kerja kali ini seperti mana dibuat terhadap Takumi (Sasaki)," tulisnya.

Berdasarkan semakan di laman transfermarkt, pemain lincah itu akan berstatus ejen bebas pada 31 Januari depan yang akan membolehkannya menyertai mana-mana pasukan berminat.

Status itu semestinya disedari pihak pengurusan Negeri Sembilan FC yang akan memastikan penyerang tersebut menjadi milik mereka sebelum kelab Liga Super lain memberi tawaran.

Selain Mio, skuad Jang turut membawa masuk tonggak Selangor FC, Alex Agyarkwa secara pinjaman dengan kedua-duanya membawa kelainan besar buat pasukan kendalian Nidzam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram