
BEBERAPA aktiviti perpindahan minit akhir sempat dimeterai sebelum jendela ditutup, termasuk yang diumumkan pada Jumaat apabila Imigresen FC mengesahkan kehadiran penyerang baharu, Wilmar Jordan.
Pemain dari Colombia itu menjadi rekrut kedua pasukan tersebut di posisi berkenaan selepas turut membawa masuk Joao Pedro yang sebelum ini beraksi buat Sabah FC.
Ini memberikan pilihan lebih berbagai buat pengendali, Yusri Che Lah yang mahu segera mengubah nasib pasukan selepas gagal meraih sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan Liga Super.
BACA LAGI: Mengidam sejak di Perak, YCL akhirnya berjaya dapatkan penyerang Colombia
Yusri memasang cita-cita untuk mendapatkan Wilmar sejak bersama skuad TBG. — Facebook/Perak FC
Jurulatih itu sememangnya cukup tertarik akan kebolehan dimiliki Wilmar kerana sejak permulaan musim 2024/25, dia berkali-kali menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat penyerang berkenaan.
Ketika itu, Yusri masih membimbing Perak FC dengan perubahan perlu dilakukan terhadap jentera serangan selepas ketumpulan barisan hadapan menghalang pasukan terbabit daripada bersaing.
Berdasarkan statistik musim 2023, skuad The Bos Gaurus (TBG) hanya mencetak 31 gol secara keseluruhan dengan penjaring terbanyak, Luciano Guaycochea dan Seo Seon-ung masing-masing merekodkan tujuh jaringan.
Statistik mengecewakan itu diharapkan mampu diubah dengan kehadiran Wilmar yang sebelum itu berada dalam prestasi terbaik dalam liga India buat Punjab FC.
Kegagalan menyertai Perak FC menyaksikan Wilmar kekal di India. — Agensi
Bagaimanapun, hasrat Yusri tidak didengari pihak pengurusan Perak FC apabila beberapa proses rundingan diadakan tidak membuahkan sebarang hasil meskipun pelbagai spekulasi sudah bertebaran di media sosial.
Malah, dalam satu sesi sidang media, jurulatih yang terkenal dengan sifat merendah diri itu pernah menyatakan Wilmar hampir sah milik skuad TBG dengan perkongsian terbabit menceritakan kesungguhannya mendapatkan pemain berkenaan.
Perpindahan terbabit akhirnya gagal dimeterai apabila penyerang tersebut memilih untuk kekal di India dan menyertai Chennaiyin FC kerana rundingan hanya menemui jalan buntu.
Kegagalan tersebut kemudian memaksa Perak FC mencari alternatif baharu dengan membawa masuk penyerang dari Brazil, Clayton da Silva yang juga memiliki perjalanan karier berliku.
Clayton menjadi alternatif buat skuad TBG selepas gagal membawa masuk Wilmar. — Facebook/Perak FC
Meskipun berjaya meledak 10 gol sepanjang 27 penampilan secara keseluruhan buat Perak FC, dia dianggap tidak begitu prolifik kerana kurang membantu dalam proses ciptaan jaringan.
Ketumpulannya di hadapan pintu gawang turut dikatakan punca skuad TBG tidak berada dalam prestasi terbaik sepanjang musim apabila mereka menamatkan kempen Liga Super di tangga ketujuh.
Prestasi lebih baik diharapkan mampu ditonjolkan Yusri bersama Imigresen FC ketika ini apabila penyerang yang diimpikannya akhirnya berada di bawah kendaliannya.
Pengalaman dan ketajaman di hadapan pintu gol Wilmar diharapkan mampu membawa perbezaan besar, sekali gus mengubah nasib malang dialami pasukan itu secepat mungkin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram