
PERAK FA memulakan perjalanan mereka dalam saingan Liga A1 dengan langkah kiri apabila mereka tumpas 0-1 kepada UM-Damansara United pada Ahad.
Permulaan tersebut jelas sekali tidak dimahukan oleh jurulatihnya, Syamsul Saad dan semestinya para penyokong yang berharap sesuatu lebih baik tiba buat mereka selepas apa yang berlaku pada Perak FC.
Walaupun kalah, namun Perak dilihat mempunyai potensi yang besar menerusi para pemainnya.
BACA LAGI: 'Perang saudara' tercetus di Kedah tanpa sedar, wajarkah Lang Merah jauhi identiti Sang Kenari?
BACA LAGI: YCL: Dari kisah perpindahan bernilai RM1 hingga jadi jurulatih disegani
Menurut pemerhati bola sepak tempatan, T. Avineshwaran, dia melihat tujuan serampang dua mata Perak bertanding di Liga A1 sesuatu yang memberi manfaat kepada pemain tempatan.
Hal ini kerana, skuad serupa digunakan sebagai persiapan menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2026, maka dengan itu Perak hanya menggunakan pemain tempatan.
"Visi mereka jelas iaitu SUKMA 2026, jadi Liga A1 merupakan sebuah platform yang sangat bagus untuk pemain mendapatkan aksi kompetitif.
"Pemain-pemain seperti Tamotheran dan Daniel Hakimi mempunyai potensi besar selain pemain senior iaitu Fadhil Idris yang dulu seorang pemain tengah kini menjadi pertahanan
"Semasa bertemu UM-Damansara United pun, saya lihat para pemain begitu komited dalam mengikut corak permainan ditetapkan oleh jurulatih namun penyudah saja yang tidak tajam," kata Avinesh kepada Majoriti.
Sebelum ini, Perak melancarkan inisiatif mengosongkan jersi nombor 12 dalam skuad mereka dengan ia menjadi 'tribute' kepada penyokong.
Walaupun langkah itu dilihat menyentuh hati, namun cara terbaik untuk 'membeli' adalah terus konsisten dalam meraih kemenangan.
"Dalam bola sepak Malaysia ni, apabila pasukan mula memberikan keputusan yang baik, penyokong pun akan mula datang. Itulah kebenarannya.
"Sekarang ini mereka bermain di Manjung, saya pasti Syamsul pasti akan memberitahu kepada para pemain untuk terus meraih kemenangan kalau nak penyokong terus ke stadium," ulasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram