
SEORANG ahli perniagaan dari Porto Alegre, Rio Grande do Sul, Brazil mengejutkan rakyat negara itu apabila menamakan bintang bola sepak Neymar Jr. sebagai pewaris tunggal kepada kekayaannya yang dianggarkan bernilai R$6.1 bilion (kira-kira RM5.3 bilion).
Menurut laporan portal Brazil, GZH, wasiat luar biasa itu telah didaftarkan secara rasmi pada 12 Jun 2025 dan difahamkan, lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang pertalian keluarga atau hubungan profesional dengan Neymar.
Dalam keterangannya, usahawan yang enggan dikenali itu menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat atas dasar kekaguman mendalam terhadap Neymar selain merasakan ikatan peribadi dengan penyerang Santos FC itu.
BACA LAGI: Ruben Amorim hampir pasti dipecat Man United, 2 pengurus EPL berkaliber jadi calon pengganti
BACA LAGI: Punca Man United seri, Bruno Fernandes bagi alasan paling mengarut dalam sejarah EPL
"Saya suka Neymar, saya banyak mengenali diri saya dalam dirinya,” katanya sambil menambah bahawa dia melihat nilai istimewa dalam diri Neymar dan amat tersentuh dengan hubungan rapat pemain itu bersama bapanya, Neymar Sr.
Bagi berusia 31 tahun berkenaan, Neymar bukan sekadar seorang atlet, sebaliknya ikon budaya yang ketabahan dan pengabdian terhadap keluarga memberi kesan mendalam dalam hidupnya.
Bagaimanapun, wakil bekas bintang Barcelona dan Paris Saint-Germain (PSG) berkenaan mengesahkan bahawa mereka belum menerima sebarang pemberitahuan rasmi berhubung perkara tersebut.
"Wakil Neymar menyatakan mereka tidak menerima apa-apa notis berkaitan pewarisan itu," menurut kenyataan ringkas.
Pendedahan mengejutkan itu sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi di Brazil, termasuk persoalan mengenai motif sebenar ahli perniagaan berkenaan serta impaknya kepada Neymar yang sedia maklum merupakan antara atlet terkaya negara itu.
A businessman is leaving 1 BILLION DOLLARS to Neymar in his will. The administrator justified that he identifies with the athlete & decided to give his inheritance to the playerpic.twitter.com/CVbbRRE0VQ
— Ginga Bonito(@GingaBonitoHub) September 3, 2025
Khabar luar biasa itu hadir ketika karier Neymar berada di persimpangan berikutan pemain berusia 33 tahun itu kembali menyarung jersi Santos FC dan berusaha untuk mengekalkan tempat di pentas antarabangsa menjelang Piala Dunia FIFA 2026.
Brazil kini melalui fasa baharu di bawah kendalian jurulatih legenda Itali, Carlo Ancelotti yang dilantik untuk menghidupkan semula kegemilangan Selecao.
Namun, nama Neymar tidak tersenarai dalam skuad antarabangsa jendela September lalu selepas Ancelotti memberikan alasan kecergasan.
Neymar bagaimanapun menolak dakwaan itu, menegaskan dia masih cergas.
"Ia hanya bengkak otot, bukan masalah serius. Kalau tidak, saya takkan bermain hari ini. Kalau saya diketepikan, itu keputusan teknikal, tiada kaitan dengan keadaan fizikal saya," katanya selepas beraksi 90 minit penuh menentang Fluminense. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram