
PERANAN sebagai ibu bapa selalunya dianggap mencabar apabila terdapat tuntutan kerjaya yang perlyu dipenuhi, lebih-lebih lagi dalam bidang yang memerlukan komitmen tinggi dan masa yang panjang.
Namun, ada individu memilih untuk melihat pengalaman itu sebagai kekuatan dan bukannya halangan.
Sebahagian ibu bapa mula menunjukkan bahawa kejayaan dalam kerjaya boleh dicapai tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga.
BACA LAGI: Budak sihat tapi minta MC, doktor tegur ibu bapa jangan salah guna cuti sakit anak
Salah seorang daripadanya ialah model kacukan Turki dan Malaysia, Ayse Nur Hikmet Atak yang semakin dikenali bukan sahaja kerana kerjayanya di pentas peragaan, tetapi juga kerana hubungannya dengan anak perempuan yang sesekali dikongsikan kepada umum.
Baru-baru ini, Ayse memuat naik gambar bersama anaknya dalam satu hantaran di akaun Threads miliknya.
Menerusi perkongsian itu, beliau mengakui tidak pernah terbayang untuk berkongsi minat yang sama dengan anak perempuannya.
"Tak pernah terbayang yang saya akan berkongsi minat dengan satu-satunya teman baik saya iaitu anak perempuan saya sendiri. Dah besar anak mummy, mummy sangat bangga dengan kamu," tulisnya.
Beliau turut menitipkan pesanan buat anaknya yang masih dalam alam persekolahan.
"Belajar jangan lupa ya nak. Model, model juga. Pelajaran jangan ditinggalkan dan sukan jua!!" ujarnya berseloroh.
Walaupun hanya satu perkongsian, ia cukup untuk menggambarkan sisi peribadi ibu kepada tiga orang anak itu yang jarang dipaparkan kepada umum.
Ayse dan anaknya ketika terlibat dalam penggambaran sebuah program televisyen. — Instagram/@kingjujus
Hantaran itu disertakan dengan beberapa keping gambar dua beranak itu yang tampil penuh gaya dan warna ketika terlibat dalam sesi penggambaran bagi sebuah program televisyen.
Ayse tampil anggun dengan menggayakan tudung motif batik harimau bintang yang diikat gaya turban, dilengkapi rantai panjang berloket bulat emas bersaiz besar.
Penampilannya disempurnakan dengan tunik hitam serta jubah bercorak kuning rekaan pereka tempatan terkenal dengan gaya Nusantara, Yani Bakhtiar, serta kasut pointy nose putih.
Sementara itu, anaknya tampil santai tetapi tetap bergaya dengan bandana batik merah, dipadankan dengan skirt panjang bercorak batik biru, kuning dan merah.
Selain perkongsian bersama anak, Ayse juga aktif memuat naik pelbagai gambar daripada kerjayanya. Beliau kerap terlibat dalam acara pentas peragaan, termasuk memperagakan koleksi pereka tempatan dan antarabangsa.
Antara yang sering dilihat ialah kerjasama beliau dengan pelajar jurusan fesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) di mana Ayse sering tampil menjadi sebahagian individu yang memperagakan rekaan pelajar terlibat.
Peranan tersebut sekali gus memperlihatkan sokongan beliau terhadap bakat muda dalam industri fesyen.
Lebih menarik, sebelum dikenali dalam bidang peragaan, Ayse juga pernah aktif sebagai atlet lawan pedang. Beliau mewakili Malaysia di peringkat serantau termasuk menyertai Sukan SEA 2011.
Namanya pernah dilaporkan dalam berita sukan sejak pertengahan 2000-an apabila beliau muncul sebagai atlet muda yang menjalani latihan di Sekolah Sukan Bandar Penawar.
Walaupun tidak sepopular jaguh lawan pedang negara, Yu Peng Kean, penglibatannya tetap mencuri perhatian ketika itu dan menjadi sebahagian daripada perjalanan awal hidupnya.
Kini, dengan peranan sebagai model, ibu dan bekas atlet, Ayse boleh dikatakan berjaya mengukuhkan identiti dirinya.
Perkongsian tentang kerjaya dan kehidupan peribadi menjadikannya figura yang bukan sahaja versatil, tetapi juga memberi inspirasi bahawa wanita mampu mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang tanpa mengabaikan keluarga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram