
CINTA sememangnya tidak mengenal sempadan bangsa, bahasa mahupun budaya.
Itulah kisah seorang wanita, Nurraifana Azman, 32, apabila hatinya menjadi milik seorang pemain bola sepak kelahiran Montenegro, Argzim Redžović.
Pasangan ini membuktikan bahawa perkahwinan berbeza bangsa mampu bertahan apabila masing-masing saling memahami dan mahu berkomunikasi secara terbuka.
Argzim Redžović bersama keluarga tercintanya.
Berkenalan sejak 2018, kehidupan mereka yang disatukan sebagai pasangan suami isteri pada 2019 itu kini lebih bermakna dengan kehadiran empat cahaya mata iaitu Miraj, Izraa Musa, Iwana Miqaila dan Iris Medina.
Dari tidak tahu sepatah bahasa Malaysia, kini fasih bertutur
Nurraifana berkata, ketika awal perkenalan, Argzim sama sekali tidak memahami bahasa dan budaya Melayu.
Namun, dalam tempoh tiga hingga empat tahun, dia sudah mampu bertutur fasih dan kini selesa bergaul menggunakan bahasa Malaysia termasuk loghat Terengganu.
“Dia seorang yang cepat belajar. Waktu awal-awal dulu tanya saya betul ke frasa Melayu yang nak digunakan dalam Whatsapp sebelum hantar kepada orang lain. Dia pandai guna loghat Terengganu juga macam perkataan ikan jadi ikang,” katanya kepada Majoriti.
Nurraifana mendedahkan, pada awalnya suaminya agak sukar menerima kepelbagaian rasa dalam masakan Melayu.
Argzim dan Nurraifana disatukan sebagai pasangan suami isteri pada 2019.
Namun sebaik berkahwin, bekas pemain Terengganu FC itu terus jatuh cinta dengan keunikan masakan tempatan.
“Kalau kat rumah saya kadangkala masak local food dan western. Dulu awal-awal dia tak biasa, sekarang dia boleh makan hampir semua makanan Melayu,” kata Nurraifana.
Raya Montenegro vs raya Malaysia
Walaupun kedua-duanya beragama Islam, Nurraifana menganggap sambutan Aidilfitri di Montenegro amat berbeza dengan Malaysia.
“Di sana, raya sehari atau tiga hari sahaja. Fokus mereka lebih kepada solat raya dan ziarah keluarga terdekat.
"Tiada suasana meriah dengan pelbagai juadah seperti di Malaysia. Pada awalnya, Argzim agak kekok dengan budaya ziarah rumah ke rumah yang berlanjutan sepanjang sebulan di sini, tetapi lama-kelamaan seronok dan menantikannya,” katanya.
Ditanya tentang penerimaan keluarga, Nurraifana bersyukur kerana kedua-dua belah pihak tidak pernah menjadikan perbezaan bangsa sebagai halangan.
“Keluarga saya memang open-minded kerana ramai juga ahli keluarga lain berkahwin dengan pasangan luar. Manakala keluarga Argzim pula semuanya dalam sukan bola sepak, jadi mereka lebih memahami. Asalkan dia bahagia, mereka menyokong,” katanya.
Bagi Nurraifana, nilai utama yang memastikan rumah tangga mereka terus utuh adalah komunikasi dan keterbukaan.
“Kalau ada rasa tertekan atau tidak puas hati, kami akan luahkan secara terbuka. Tak semestinya untuk cari penyelesaian segera, tapi sekurang-kurangnya kami saling memahami keadaan masing-masing,” katanya.
Mengulas sempena sambutan Hari Kebangsaan, Nurraifana berpendapat pengalaman berumahtangga dengan pasangan luar negara membuatkan dirinya lebih menghargai budaya Malaysia.
“Apabila berkahwin dengan orang luar, baru nampak kelebihan dan keunikan budaya kita sendiri. Dari situ, kita belajar menerima kelemahan dan perbezaan. Yang penting adalah hati terbuka serta rasa hormat terhadap pasangan,” katanya.
Tambahnya lagi, Malaysia menjadi pilihan terbaik untuk membesarkan anak-anak mereka kerana nilai budi bahasa serta rasa selamat yang dirasai di sini.
“Bagi saya, cinta tidak mengenal bangsa. Apa yang penting ialah kita belajar untuk saling memahami dan menerima perbezaan. Itulah asas sebenar perpaduan, baik dalam rumah tangga ataupun negara,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram