
SUASANA hiba menyelubungi sebuah kediaman di Perumahan Puri Bidara, Tigaraksa, Kabupaten Tangerang, Indonesia apabila ratusan penduduk hadir menziarahi dan menghadiri majlis tahlil Allahyarham Andika Lutfi Falah yang meninggal dunia selepas menyertai satu demonstrasi di hadapan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) di Jakarta pada Khamis lepas.
Andika yang merupakan pelajar Tingkatan 4 Sekolah Menengah Kejuruan Negeri (SMKN) 14 Kabupaten Tangerang, dikebumikan di Tanah Perkuburan Awam Puri pada Isnin.
Sejak pemergiannya, rumah keluarga Allahyarham sentiasa dikunjungi jiran, rakan dan kenalan yang hadir mengucapkan takziah.
Dalam suasana pilu itu, ibunya dilihat menahan sebak ketika menerima kunjungan tetamu.
Walaupun kehilangan yang besar dirasai, dia tetap tabah dan reda dengan pemergian anaknya serta berkongsi bahawa Allahyarham aktif dan gemar melakukan aktiviti lasak, terutamanya mendaki gunung.
Allahyarham Andika Lutfi Falah dilaporkan mengalami retakan pada bahagian belakang tempurung kepala. — Agensi
“Saya tak salahkan sesiapa. Mungkin ini sudah takdir anak saya,” katanya perlahan sambil menitiskan air mata.
Menurut Ketua Rukun Tetangga (RT) Perumahan Puri Bidara, Mukim Tigaraksa, Daerah Kabupaten Tangerang, Sugiono, Andika dipercayai menyertai demonstrasi tersebut pada Khamis (28 Ogos).
Sugiono berkata, Andika dilaporkan memberitahu pihak sekolah bahawa dia ingin menemani ibunya mendapatkan rawatan, namun sebaliknya pergi ke Jakarta bersama rakan-rakan untuk menyertai perhimpunan di hadapan DPR.
“Pihak sekolah kemudian menghubungi keluarga selepas mendapati Andika tidak kembali ke sekolah. Rupa-rupanya dia pergi menyertai demonstrasi,” kata Sugiono.
Selepas perhimpunan, Andika dilaporkan hilang dan gagal dihubungi kerana tidak membawa telefon bimbit atau dokumen pengenalan diri.
Keluarga hanya mendapat maklumat mengenai keberadaannya pada petang Sabtu (30 Ogos) menerusi media sosial yang memaklumkan Andika berada dalam keadaan kritikal di Hospital Tentera Mintohardjo, Jakarta Pusat.
Setibanya di hospital, keluarga dimaklumkan Andika sudah tidak sedarkan diri sejak Jumaat (29 Ogos).
Menurut laporan perubatan, Allahyarham mengalami retakan pada bahagian belakang tempurung kepala dan koma.
Pihak keluarga percaya kecederaan itu mungkin berpunca daripada hentakan objek tumpul, namun tidak mempunyai maklumat jelas mengenai apa yang berlaku ketika demonstrasi berlangsung.
“Kami pun tak tahu sama ada dia jatuh atau dipukul. Tapi doktor sahkan ada kesan hentakan. Apa pun, pihak keluarga memilih untuk tidak memperbesarkan perkara ini,” kata Sugiono.
Tambah beliau, keluarga kini hanya mahu menerima ketentuan Ilahi dengan hati yang reda.
“Kami tak akan lanjutkan isu ini. Semua ahli keluarga sudah reda dan terima takdir ini dengan ikhlas,” ujarnya.
Sebelum ini, tular di media sosial kematian Affan Kurniawan, seorang pemandu motosikal e-hailing berusia 21 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas dilanggar dan digilis oleh sebuah kenderaan taktikal (rantis) Pasukan Briged Mobil (Brimob) ketika polis menyuraikan tunjuk perasaan berhampiran kawasan Parlimen di Jakarta. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram