
JUARA bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) sekali lagi mencuri tumpuan apabila berjaya mendapatkan khidmat bekas pemain kelab La Liga, Ager Aketxe sebagai tambahan terbaru dalam skuad Harimau Selatan.
Namun, apa yang menarik perhatian ramai, pengumuman rasmi mengenai penyertaannya hanya dibuat pada 1 September iaitu sehari selepas jendela perpindahan ditutup pada 31 Ogos.
Menerusi kenyataan rasmi yang dimuat naik di laman Facebook kelab, JDT memaklumkan bahawa Aketxe sah ditandatangani satu jam sebelum jendela perpindahan ditutup pada Ahad.
BACA LAGI: 'Belum jumpa pintu gol', 3 import Liga Super masih buntu cetak jaringan pertama
BACA LAGI: [VIDEO] Atlet Selangor tersilap garisan, terlepas naik podium acara 3000m
Pemain tengah kreatif dari Sepanyol,, Ager Aketxe sah menyarung jersi skuad Harimau Selatan. — Facebook/JST
Aketxe, 31, merupakan tonggak utama Zaragoza musim lalu, dengan 38 penampilan di pentas La Liga 2 dan Copa del Rey, menyumbang dua gol dan tiga bantuan jaringan, sekali gus membantu pasukannya mengelak zon penyingkiran.
Lebih menarik, pemain berketinggian 1.74 meter itu juga pernah beraksi di liga utama Sepanyol bersama Athletic Bilbao antara musim 2012 hingga 2018, merekodkan 14 penampilan dalam La Liga.
Selain statistik yang memberangsangkan, Aketxe juga dikenali sebagai pakar sepakan percuma dengan di Sepanyol, namanya cukup sinonim dengan sepakan jarak jauh yang deras dan tepat menggunakan kaki kiri.
Kehadirannya ke JDT dilihat sebagai tambahan berkualiti menjelang kempen Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) dan Piala Shopee musim 2025/26, yang mana juara Liga Super itu dijangka memberi saingan sengit untuk memburu kejuaraan.
Namun begitu, pengumuman rasmi mengenai penyertaannya hanya dibuat selepas jendela perpindahan ditutup, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada pemain tersebut sempat didaftarkan mengikut tempoh yang ditetapkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Sekiranya pendaftaran dibuat selepas tarikh akhir, JDT berisiko melanggar peraturan liga, namun ramai berpendapat bahawa Aketxe mungkin telah didaftarkan lebih awal dan pengumuman hanya ditangguhkan atas faktor strategi atau teknikal.
Apa pun, ini bukan kali pertama JDT mencetuskan kekeliruan berkaitan pengumuman pemain baharu.
Pada jendela perpindahan kedua Liga Super 2022 lalu, kelab Selatan tanah air itu turut mengumumkan ketibaan pertahanan Harimau Malaya, Junior Eldstal seminggu selepas tempoh jendela ditutup.
Ketika itu, segelintir penyokong juga percaya bahawa pendaftaran telah dibuat dalam tempoh yang sah, namun pengumuman lewat itu mengundang pelbagai spekulasi.
Dengan kemasukan Aketxe, JDT kini memiliki ramai pemain tengah berkaliber termasuk Hector Hevel, Nacho Mendez dan Afiq Fazail menjadikan perebutan tempat dalam kesebelasan utama semakin sengit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram