[VIDEO] 'Rasakan kuasa wanita', malukan skuad lelaki dalam sukan tarik tali, 'synchronize' antara 3 rahsia kemenangan


  • Podium
  • Selasa, 02 Sep 2025

Pasukan kebangsaan wanita Taiwan cipta kejutan tewaskan skuad lelaki Thailand dalam aksi tarik tali pameran yang penuh strategi dan semangat berpasukan.

SKUAD tarik tali wanita kebangsaan Taiwan mencipta kejutan apabila menewaskan skuad lelaki Thailand dalam satu aksi tarik tali pameran yang berlangsung penuh semangat, persaingan dan strategi.

Pertarungan unik itu menarik perhatian ramai selepas dikongsikan Girls Gone Strong di Facebook yang kembali tular sejak Selasa, yang menyifatkan perlawanan tersebut sebagai demonstrasi sempurna terhadap kekuatan strategi, penyelarasan gerakan (synchronize) serta kerjasama berpasukan mampu mengatasi kekuatan fizikal.

Meskipun bukan perlawanan rasmi, pertembungan itu tetap mengikut peraturan standard sukan tarik tali kompetitif.

BACA LAGI: 'Belum jumpa pintu gol', 3 import Liga Super masih buntu cetak jaringan pertama

BACA LAGI: Di antara Hong Wan-Ibrahim Manusi-Wan Kuzain, siapa lebih layak gantikan Hector Hevel?

"Bagi memastikan keadilan dari segi berat keseluruhan pasukan, format perlawanan menetapkan 10 ahli untuk pasukan wanita dan hanya lapan bagi pasukan lelaki.

"Peraturan ini lazim digunakan dalam pertandingan antarabangsa bagi memastikan saingan lebih seimbang, terutamanya dalam aksi pameran antara pasukan berbeza jantina," katanya.

Keputusan akhir menyaksikan pasukan wanita Taiwan unggul mengatasi lawan mereka yang secara fizikalnya lebih dominan, membuktikan bahawa disiplin taktikal dan kesepaduan pasukan adalah kunci utama kejayaan.

Pasukan wanita Taiwan bukan nama baharu dalam dunia tarik tali kerana mereka telah beberapa kali menjulang gelaran juara di pentas antarabangsa, termasuk di World Games dan Kejohanan Dunia Tarik Tali Kategori Luar (Outdoor World Championships).

Rekod cemerlang itu terus meletakkan mereka dalam kelompok pasukan elit dunia dan kemenangan dalam aksi pameran tersebut sekadar mengukuhkan lagi reputasi tersebut di mata dunia.

Lebih daripada sekadar kemenangan, kejayaan itu menjadi simbol bagaimana fokus, semangat juang dan strategi mampu mengatasi kekuatan fizikal semata-mata sekali gus memberi inspirasi kepada ramai bahawa wanita juga mampu mencipta kehebatan luar biasa dalam arena sukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram