
TULAR di media sosial tindakan jujur seorang penghantar kurier yang mendapat pujian ramai apabila tetap berpegang pada integriti meskipun berpeluang mengambil wang lebih ketika menghantar barang secara ‘Cash on Delivery’ (COD).
Menerusi satu video yang dimuat naik oleh pengguna TikTok dikenali sebagai Pakcik Alie pada Ahad, dia berkongsi momen sewaktu menjalankan tugas penghantaran ke rumah pelanggan.
Apa yang mencuri perhatian ramai adalah tindakan pelanggan yang dilihat telah memudahkan urusan penghantaran dengan menyediakan wang bayaran COD lebih awal apabila menyimpan duit berkenaan di tempat yang tidak dijangka iaitu dalam kasut di luar rumah.
Tindakan kreatif itu sememangnya memudahkan urusan penghantaran, terutamanya apabila pelanggan tiada di rumah.
“Senang bila order COD, dapat customer yang memahami,” tulis Pakcik Alie dalam kapsyennya.
Menerusi video berdurasi satu minit 28 saat itu, kelihatan penghantar kurier berkenaan mengambil wang yang disediakan dan menyelesaikan proses penghantaran dengan teliti.
Nilai barangan COD tersebut berjumlah RM66.70, namun pelanggan meninggalkan sejumlah wang yang melebihi jumlah sebenar.
Namun begitu, individu berkenaan menunjukkan kejujuran tinggi apabila hanya mengambil jumlah yang digenapkan iaitu RM67 dan meninggalkan semula baki RM12 di tempat sama.
Tindakan itu mengundang pujian ramai di ruangan komen, yang menyifatkan dia sebagai contoh pekerja berintegriti dan amanah.
Video berkenaan kini meraih ribuan tontonan dan terus dikongsi ramai sebagai contoh nilai murni yang wajar dicontohi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram