Asnaf 5 beranak di Sungai Petani 'hilang' selepas terima bantuan rumah dan motor percuma, pusat bantuan enggan lagi bertanggungjawab


  • Massa
  • Selasa, 02 Sep 2025

Keluarga asnaf lima beranak yang sebelum ini dibantu oleh beberapa NGO dilaporkan hilang tanpa jejak. — Facebook/MuhammadRidzuan OsmanDikWan

SEBUAH keluarga asnaf lima beranak yang sebelum ini dibantu oleh pelbagai pihak termasuk pusat bantuan pembangunan dan pendidikan ummah, Murtadha Dakwah Centre (MADAD) dilaporkan melarikan diri dari rumah yang disediakan untuk mereka pada Sabtu lepas.

Perkara itu dikongsikan oleh salah seorang staf pusat bantuan terbabit, Muhammad Ridzuan Osman DikWan menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad yang kini tular di media sosial.

Menurut Ridzuan, keluarga tersebut sebelum ini datang memohon bantuan kerana dakwanya telah dihalau keluar dari bilik sewa selepas gagal membayar sewa apabila motosikal yang digunakan untuk mencari rezeki mengalami kerosakan.

BACA LAGI: [VIDEO] Himpunan Justice for Zara di Tawau dicemari ucapan berbaur hasutan, penganjur dipanggil beri keterangan

BACA LAGI: [VIDEO] Isu keselamatan di Indonesia halang legenda HM termasuk Safiq Rahim-Zaquan Adha beraksi, desak tukar venue ke SSI

Tambahnya lagi, mereka turut mendakwa terpaksa tidur di kawasan hutan dan kaki lima.

"Pihak MadadCare, Malaysian Relief Agency (MRA) dan Pertubuhan Pusat Jagaan Sima Kedah telah hampir sebulan menyediakan tempat tinggal secara percuma kepada keluarga ini, termasuk menanggung semua kos makan minum, susu dan lampin anak-anak mereka," jelasnya.

Tidak cukup dengan itu, Pasukan Kongsi Rezeki dari Melaka melalui Pak Ngah Makhdad turut tampil menyerahkan sebuah motosikal lengkap dengan insurans dan cukai jalan kepada keluarga itu hanya dengan harga simbolik RM1.

Selain itu, keluarga tersebut juga diberikan peluang pekerjaan oleh sebuah restoran tempatan, namun difahamkan hanya hadir bekerja selama kurang dari dua jam sebelum menghilangkan diri.

"Pihak kami tidak akan bertanggungjawab sekiranya ada isu berbangkit berkenaan keluarga ini sebab pihak kami sudah cuba bantu sehabis yang boleh," ujarnya.

Pada masa sama, dia turut mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha membantu keluarga berkenaan termasuk MADAD, MRA, Pusat Jagaan Sima, DQ Restaurant & Cafe serta Team Kongsi Rezeki Melaka.

Sebelum ini, MADAD turut berkongsi di Facebook bahawa mereka telah memberikan bantuan penuh kepada keluarga tersebut, termasuk tempat tinggal dan barangan keperluan asas.

"Motorsikal RM1 untuk Asnaf di Sungai Petani, Kedah. Alhamdulillah. Selepas posting MadadCare baru-baru ni mengenai keluarga ini yang tidur di kaki lima dan hutan kerana tidak mampu bayar sewa.

"Hari ini Team Kongsi Rezeki Melaka menyerahkan motosikal dengan harga RM1 kepada mereka," kata kenyataan MADAD sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram