'Belum jumpa pintu gol', 3 import Liga Super masih buntu cetak jaringan pertama


  • Podium
  • Isnin, 01 Sep 2025

Penyerang Penang FC antara import Liga Malaysia yang masih belum menemui sentuhan penyudah di depan gol. — Facebook/Penangfc

EMPAT perlawanan telahpun berlangsung dalam saingan Liga Super Malaysia musim 2025/2026, namun masih terdapat beberapa penyerang import dari beberapa kelab utama yang masih gagal mencetak sebarang gol untuk pasukan masing-masing.

Situasi itu bukan sahaja mencetus persoalan tentang ketajaman mereka di atas padang, malah turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyokong.

Sebagai pemain yang diharapkan menjadi penggempur utama, kemandulan di depan gol selepas empat perlawanan pastinya mengecewakan, apatah lagi apabila mereka turut gagal menyumbang sebarang bantuan jaringan (assist) setakat ini.

BACA LAGI: [VIDEO] Nama sama suami alasan wanita masalah saraf otak cuba peluk Sultan Nazrin ketika sambutan Hari Kebangsaan di Ipoh

BACA LAGI: [VIDEO] Atlet Selangor tersilap garisan, terlepas naik podium acara 3000m

Hal ini memberi gambaran bahawa impak mereka dalam jentera serangan masih jauh daripada apa yang dijanjikan.

Kelembapan prestasi itu juga mengundang perbandingan dalam kalangan peminat, terutama apabila penyerang import lain dari kelab saingan sudah mula menemui sentuhan jaringan.

Keadaan tersebut menambahkan lagi tekanan terhadap pemain import yang masih belum menunjukkan taring sebenar.

Oleh itu, tumpuan kini terarah kepada tiga penyerang import yang masih buntu mencari gol dan jika prestasi sebegini berterusan, tidak mustahil status mereka akan dipersoal menjelang jendela perpindahan akan datang.

1. Willian Lira

Selepas empat perlawanan Liga Super musim 2025/2026, penyerang import Selangor FC, Willian Lira masih belum menemui sentuhan penyudah di jentera serangan pasukan.

Pemain kelahiran Brazil itu dilaporkan masih bergelut untuk menghasilkan sebarang jaringan, dengan laman Transfermarkt mengesahkan bahawa Lira masih belum mencatatkan gol bersama Gergasi Merah setakat ini.

Prestasi hambar itu nyata menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong, yang tertanya-tanya mengenai rasional pemilihan Lira sebagai penyerang import, khususnya apabila tiada impak signifikan ditampilkan dalam beberapa aksi awal musim.

Penyerang Gergasi Merah, Willian Lira antara import yang masih belum menjaringkan sebarang gol. Facebook/Selangorfc

Lira sebelum ini pernah menyerlah bersama Kedah Darul Aman FC pada musim 2022/23, apabila berjaya menjaringkan lapan gol dalam 14 penampilan.

Malah, rekodnya ketika beraksi di Thailand bersama Chonburi FC juga tidak kurang hebatnya, dengan 15 gol dalam 30 perlawanan.

Namun, prestasi cemerlang itu masih belum diterjemahkan bersama Selangor, yang kini mula merasai tekanan untuk memperbaiki ketumpulan di barisan hadapan menjelang aksi-aksi penting yang akan datang.

2. ⁠Samu Castillejo

Pemain sayap Johor Darul Ta'zim (JDT), Samu Castillejo masih belum menemui sentuhan pemusnah di jentera serangan selepas empat perlawanan Liga Super musim ini.

Penyerang kelahiran Sepanyol itu dilaporkan bergelut untuk menyesuaikan diri dalam saingan domestik apabila masih gagal menjaringkan sebarang gol, menurut statistik laman Transfermarkt.

Situasi tersebut mula menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong Harimau Selatan yang mempersoalkan keputusan pihak pengurusan mengambil Castillejo sebagai pemain import jika prestasi yang ditampilkan tidak meyakinkan.

Pemain sayap JDT, ⁠Samu Castillejo. Facebook/JST

Untuk rekod, Castillejo memiliki pengalaman luas di pentas bola sepak Eropah apabila pernah beraksi dalam 324 perlawanan di La Liga dan Serie A.

Antara pencapaian terbaiknya ialah menjuarai Serie A bersama AC Milan pada musim 2021–2022, bergandingan dengan nama besar seperti Zlatan Ibrahimovic, Sandro Tonali dan penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis, Olivier Giroud.

Namun, setakat ini, prestasinya bersama JDT masih belum mencapai tahap yang diharapkan, apabila gagal mencatatkan sebarang jaringan selepas empat aksi liga.

3. Danilo Sipovac

Pemain sayap Penang FC, Danilo Sipovac masih belum mencatatkan sebarang jaringan selepas empat perlawanan Liga Super musim ini.

Walaupun beberapa kali berpeluang untuk meledak gol, pemain import kelahiran Bosnia itu gagal menyempurnakan peluang yang terhidang, sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong.

Sebagai pemain sayap yang diharapkan mampu mencipta impak di bahagian serangan, prestasi hambar itu pastinya mengecewakan penyokong Harimau Kumbang yang mahu melihat aksi lebih meyakinkan daripada barisan import.

Sipovac (kanan) masih belum mencetak sebarang gol dalam saingan Liga Super selepas empat perlawanan. Facebook/Penangfc

Sipovac, 25, yang terkenal dengan kelajuannya, disifatkan sebagai antara pemain sayap terpantas di Eropah ketika ini dengan catatan kelajuan maksimum mencecah 36 kilometer sejam (km/j), hanya 2km/j di belakang bintang sensasi Perancis dan Real Madrid, Kylian Mbappe.

Penang FC kini pastinya mengharapkan Sipovac segera menemui sentuhan penyudahnya untuk membantu pasukan menambah sengat dalam perlawanan akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram