
PENGANJUR Himpunan Solidariti Rakyat, Justice for Zara yang berlangsung di Tawau, Sabah pada Ahad dilaporkan telah dipanggil oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk memberikan keterangan susulan dakwaan wujudnya ucapan berbaur hasutan dalam himpunan tersebut.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh individu dikenali sebagai Naiem Zikri yang bertindak sebagai penganjur menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya.
“Saya baru sahaja dihubungi oleh IPD Tawau untuk hadir ke balai, atas kapasiti sebagai penganjur Himpunan Solidariti Rakyat di Tawau, pada Ahad,” katanya.
BACA LAGI: Di antara Hong Wan-Ibrahim Manusi-Wan Kuzain, siapa lebih layak gantikan Hector Hevel?
Bagaimanapun, menurutnya, dia bersedia untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, namun menegaskan bahawa dia dan rakan-rakannya hanya akan hadir ke balai polis selepas menerima Notis Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).
“Saya dan kawan-kawan bertegas untuk mendapatkan Notis Seksyen 111 KPJ daripada pihak polis sebelum saya dan kawan-kawan ke balai polis,” katanya lagi.
Terdahulu, himpunan yang dianjurkan atas tujuan menuntut keadilan unttuk Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir telah mencetuskan kontroversi apabila satu klip video dari acara berkenaan tular di media sosial, memaparkan ucapan dan laungan yang dianggap berunsur hasutan.
Lebih membimbangkan, dalam klip video yang tersebar, kedengaran peserta melaungkan 'Bakar TYT', dipercayai merujuk kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tan Sri Musa Aman.
Laungan tersebut mencetuskan kemarahan ramai warga maya, terutamanya penduduk Sabah yang menganggap himpunan itu telah lari dari matlamat asal dan membawa elemen politik melampau.
Pihak polis setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung siasatan, namun pemanggilan penganjur ke IPD Tawau menunjukkan siasatan awal telah bermula.
Himpunan tersebut pada asalnya bertujuan menuntut penjelasan dan keadilan dalam kes melibatkan kematian tragis pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina yang dilaporkan meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram