
PEMAIN tengah Kanchanaburi City FC, Sergio Aguero menegaskan dia sentiasa bersedia untuk menyarung jersi Harimau Malaya sekiranya khidmatnya diperlukan oleh pasukan kebangsaan.
Bekas tonggak Sri Pahang FC itu antara 29 pemain yang dipanggil Ketua Jurulatih, Peter Cklamovski bagi menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa yang dijadual berlangsung pada September nanti.
Panggilan kali ini merupakan yang pertama buat Aguero sejak penampilan terakhirnya dalam kempen Piala Asean 2024 pada penghujung tahun lalu.
BACA LAGI: Di antara Hong Wan-Ibrahim Manusi-Wan Kuzain, siapa lebih layak gantikan Hector Hevel?
Mengulas mengenai pemilihannya, Aguero mengakui berasa terhormat dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan, namun dalam masa sama menyedari cabaran sengit untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.
“Sudah tentu ia satu detik membanggakan. Sekarang ini lebih sukar untuk mendapat panggilan kerana ramai pemain berkualiti berada dalam kem.
“Tetapi apabila saya dipanggil menyertai skuad kebangsaan, saya sentiasa bersedia untuk memberikan yang terbaik,” katanya.
Aguero kini berpeluang menambah kepada 17 kap antarabangsa serta tiga gol yang pernah dijaringkannya bersama skuad Harimau Malaya.
Untuk rekod, Malaysia akan menentang Singapura pada 4 September di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, diikuti perlawanan menentang Palestin pada 8 September di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram