[VIDEO] Baru injak usia 2 tahun, UniSZA Soccer Kids Academy sudah pikat JDT, NFDP


  • Podium
  • Ahad, 31 Ogos 2025

UniSZA kini mempunyai empat kategori pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.

USIA akademi baru menginjak dua tahun tetapi mempunyai potensi besar untuk melahirkan bakat-bakat dalam landskap bola sepak tempatan.

Bertapak di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kampus Gong Badak, UniSZA Soccer Kids Academy dikemudi ketua jurulatih iaitu Mohd Norhisham Hassan yang memiliki pengalaman luas dalam membangunkan bakat bola sepak di peringkat akar umbi selain reputasinya sebagai bekas pemain kebangsaan pada awal 2000-an.

Dengan memiliki fasiliti serba lengkap di Pusat Sukan UniSZA, pastinya menjadi kelebihan buat akademi itu menarik minat pelatih muda berpontesi di kawasan sekitar Kuala Terengganu terutamanya di Gong Badak.

BACA LAGI:UniSZA julang Pantai Timur, cipta sejarah anjur kejohanan antarabangsa bola sepak peringkat akar umbi

BACA LAGI:[VIDEO] UniSZA nafi jual sijil akademik, bakal ambil tindakan undang-undang

Malah melalui visi yang jelas mahu memberi khidmat komuniti dan sosial kepada masyarakat setempat termasuk anak-anak staf UniSZA itu sendiri, Norhisham juga mempunyai cita-cita lebih besar untuk menjadikan UniSZA Soccer Kids Academy sebagai 'kilang' bakat muda di Terengganu.

Norhisham yang juga staf universiti tersebut, menjelaskan bahawa inisiatif itu tidak mampu dilaksakanakan tanpa sokongan kuat daripada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UniSZA, Profesor Madya Datuk Ts. Dr. Mohd Hafiz Yusoff Che Abdullah, yang tampil dengan idea penubuhan akademi tersebut.

"Beliau (Dr. Mohd Hafiz) ingin menggerakkan UniSZA Soccer Kids Academy dalam pelan strategik universiti ini sebagai satu daripada khidmat komuniti dan sosial.

Norhisham memiliki pengalaman sebagai pemain dan juga jurulatih.

"Selain khidmat komuniti, kita juga rancang untuk hantar dan beri peluang kepada semua pelatih merasai pengalaman bermain dalam kejohanan-kejohanan tempatan dan luar negara.

"Setidaknya, jika mereka tidak berjaya menyertai Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), mereka masih boleh beraksi di kejohanan lain, sekali gus masih boleh menarik minat pencari bakat di luar sana," katanya kepada Majoriti.

Bermula secara rasmi pada 4 November 2023, akademi itu pada asalnya mempunyai tiga kategori untuk Bawah 12 Tahun, Bawah 10 Tahun dan Bawah 8 Tahun.

Tetapi seiring dengan perkembangan semasa dan sambutan luar biasa, UniSZA Soccer Kids Academy membuka satu lagi kategori iaitu Bawah 14 Tahun bermula tahun ini.

"Jadi kini kami ada empat kategori dan memiliki seramai 80 hingga 90 pelatih. Tetapi tidak semua pelatih turun pada satu-satu masa kerana kita faham ada kalanya mereka ada urusan bersama keluarga," katanya yang juga merupakan Ketua Jurulatih pasukan UniSZA.

Meskipun masih baharu, reputasi UniSZA Soccer Kids Academy kini semakin dikenali dalam kalangan pencari bakat selepas beberapa pelatih berpeluang untuk menyertai pemilihan kelab besar tanah air termasuk Johor Darul Ta'zim (JDT).

 

UniSZA Soccer Kids Academy antara kelab yang bakal bertanding dalam kejohanan junior peringkat antarabangsa di Pantai Timur anjuran UniSZA sendiri pada September nanti.

"Kita pernah ada lebih kurang lima orang pelatih diuji ke NFDP dan ada juga seorang daripadanya dapat ke pemilihan akademi JDT.

"Masa itu umurnya 13 tahun tapi belum rezeki buatnya kerana tidak terpilih," kata Norhisham yang pernah mewakili Terengganu di pentas Liga Super dan Liga Perdana pada 2002 sehingga 2007.

UniSZA Soccer Kids Academy mengadakan sesi latihan setiap pagi Jumaat dan Sabtu dengan hanya mengenakan yuran sebanyak RM50 sebulan.

Malah tidak lama lagi, akademi itu bakal memiliki kemudahan baharu termasuk padang sintetik untuk kegunaan pelatih dan Norhisham sudah merancang untuk mengadakan sesi latihan tambahan kepada bagi memanfaatkan sepenuhnya fasiliti itu.

Untuk rekod, UniSZA Soccer Kids Academy antara kelab yang bakal bertanding dalam kejohanan junior peringkat antarabangsa di Pantai Timur anjuran UniSZA sendiri pada September nanti.

Penganjuran sulung ini melibatkan penyertaan pasukan peringkat usia bawah bawah 8 tahun hingga 14 tahun, dan sehingga kini telah menarik minat lebih 90 penyertaan dari dalam dan luar negara termasuk pasukan dari Indonesia dan Singapura yang telah mengesahkan kehadiran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram