[VIDEO] Bintang tenis ubati hati budak lelaki lepas jutawan rampas topi edisi khas US Open


  • Podium
  • Ahad, 31 Ogos 2025

Tangkap layar rakaman jutawan itu merampas topi pemberian Majchrzak kepada budak lelaki itu.

BINTANG tenis Poland, Kamil Majchrzak akhirnya berjaya menjejaki seorang kanak-kanak lelaki yang menjadi perhatian ramai selepas topi cenderahati yang sepatutnya diterimanya dirampas oleh seorang lelaki dewasa sejurus selepas kemenangan dramatik Majchrzak di Terbuka AS.

Majchrzak melakar kejayaan terbesar dalam kariernya apabila menewaskan pilihan kesembilan kejohanan, Karen Khachanov dalam aksi lima set yang sengit di Gelanggang 11, Terbuka AS di Pusat Tenis Nasional Billie Jean King, New York, Amerika Syarikat pada Khamis lalu.

Ketika meraikan kemenangan berkenaan, atlet berusia 29 tahun berkenaan menghampiri penonton dan dirakam membuka topinya untuk dihadiahkan kepada seorang kanak-kanak di bahagian berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Padah pijak ‘net’, bintang tenis Poland pecah raket sendiri

BACA LAGI: [VIDEO] Pasangan beregu tenis dibatalkan penyertaan selepas bola terkena 'ball girl'

Namun detik istimewa tersebut bertukar kecoh apabila seorang lelaki yang berdiri di sebelah kanak-kanak itu pantas menyambar topi berkenaan sebelum memasukkannya ke dalam beg, meninggalkan kanak-kanak itu termenung kecewa.

Video insiden tersebut segera tular dan mencetuskan kemarahan ramai peminat tenis yang mengecam tindakan lelaki berkenaan sebagai tamak dan tidak bertimbang rasa kerana merosakkan momen berharga untuk seorang kanak-kanak.

Memetik laporan media luar negara, lelaki yang tular merampas topi bertandatangan Majchrzak dikenal pasti sebagai jutawan Poland bernama Piotr Szczerek iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat paving Drogbruk.

Menyedari kejadian berkenaan hanya selepas video berkenaan tersebar tular di media spsial dan menjadi perbincangan hangat warganet, Majchrzak bertindak pantas dengan memuat naik hantaran di Instagram.

"Selepas perlawanan saya tidak sedar topi saya tidak sampai kepada budak itu. Terima kasih kepada @asicstennis, saya ada banyak topi, jadi saya sudah bersedia.

"Hei semua, bolehkah anda bantu saya cari kanak-kanak daripada perlawanan saya itu. Jika itu anda (atau ibu bapa anda nampak ini), sila hantarkan DM (mesej di Instagram)," tulisnya.

Kurang 24 jam kemudian, pencarian itu berjaya apabila Majchrzak mengesahkan kanak-kanak tersebut sudah ditemui dengan dia juga memberi topi baharu kepada budak lelaki berkenaan dan hadiah lain. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram